suria

Hati-hati... Ubat penahan sakit, suplemen antara 5 penyebab buah pinggang rosak

Gaya hidup yang tidak sihat boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

MASALAH buah pinggang sudah menjadi salah satu penyakit yang sudah biasa kita dengar dalam kalangan masyarakat.

Lebih mengejutkan semakin ramai golongan muda mengalami masalah buah pinggang tanpa menyedari gaya hidup tidak sihat telah menyebabkan punca penyakit itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Begitu kuat pengaruh rawatan alternatif, ramai enggan ke hospital... realitinya kes kanser libatkan anak muda makin meningkat!

Berikut adalah beberapa gaya hidup tidak sihat yang banyak diamalkan sehingga dapat memberi kesan kepada fungsi dan kesihatan buah pinggang kita.

1. Makanan segera

Mudah, cepat dan sedap. Itu antara jawapan biasa kita dengar mengapa makanan segera menjadi pilihan. Tapi sedarkah kita, makanan segera mengandungi natrium atau garam yang tinggi.

Bukan sahaja membahayakan jantung, ia juga boleh memberi kesan kepada buah pinggang anda. Tanda kita banyak mengambil makanan dengan natrium tinggi, biasanya air kencing akan disertai dengan kalsium.

Pakar Nefrologi, Dr. James Simon memberitahu, kandungan kalsium dalam urin boleh meningkatkan risiko batu karang.

Natrium tidak seharusnya diambil lebih daripada 2.3 mg sehari, namun kata James, rata-rata orang ramai mengambilnya dua kali ganda.

"Orang ramai hanya melihat kandungan karbohidrat, lemak serta kalori dalam makanan tetapi berapa ramai yang melihat natrium?," katanya.

2. Merokok

Merokok tak hanya menyebabkan kanser paru-paru. Kajian pada 2012 turut mendapati merokok meningkatkan risiko kerosakan sel karsonoma buah pinggang yang merupakan bentuk kanser paling umum dalam kalangan orang dewasa.

3. Kurang minum air

Kurang minum air bukan sahaja boleh merosakkan buah pinggang tetapi organ lain dalam badan. Sebaik-baiknya, minumlah air secukupnya atau lapan gelas air sehari.

4. Ubat penahan sakit

Ubat anti-inflamasi dan penahan sakit yang disebut NSAID yang meliputi ibuprofen dan aspirin dapat mengurangkan aliran darah ke buah pinggang.

"Orang-orang yang mengambil ubat penahan sakit setiap hari berisiko tinggi untuk mengalami masalah buah pinggang dalam waktu jangka panjang," kata James.

5. Pengambilan suplemen

Terlalu ramai percayakan produk suplemen yang kononnya menggunakan bahan semula jadi - dan itu tidak bererti ia selamat digunakan.

Misalnya, ada sesetengah makanan tambahan berasaskan tumbuhan semula jadi mempunyai asid aristolochic yang mampu merosakkan buah pinggang.

Jika terdapat bahan seperti aristolochia, asarum atau bragantia yang ditulis pada labelnya, ia boleh membahayakan kesihatan anda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain