suria

Bukan wanita berkahwin sahaja hadapi risiko peranakan jatuh... jaga berat badan, elak sembelit

Kejadian rahim jatuh berlaku apabila otot pelvis menjadi lemah disebabkan keregangan berlebihan.

ORGAN peranakan wanita terdiri dari rahim, pundi kencing dan usus besar yang disokong oleh ligamen serta otot yang dikenali sebagai otot pelvis.

Kejadian rahim jatuh berlaku apabila otot pelvis menjadi lemah disebabkan keregangan berlebihan.

Terdapat pelbagai jenis kejatuhan rahim dan umumnya ia bergantung kepada organ yang terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ejekan 'gemuk macam gorila', 'boroi itu seksi'... tapi bukan bermakna yang 'sihat' sahaja berpenyakit!

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Salmi Daraup, tiga bahagian utama yang kerap berlaku.

"Bahagian atas yang paling biasa berlaku. Sekiranya ia membabitkan bahagian atas faraj, rahim akan jatuh ke bahagian faraj dan rahim turun sedikit, biasanya ini tidak mendatangkan sebarang gejala (asymptomatic) dan hanya dapat dikesan semasa rutin membuat pap smear.



Peranakan jatuh hanya boleh diketahui selepas menjalani rawatan kesihatan seperti pap smear.

"Rahim yang jatuh sehingga ke pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj. Pada ketika ini pesakit mungkin mengalami simptom seperti kerap buang air kecil. Akhir sekali, keseluruhan rahim jatuh terkeluar daripada faraj iaitu procidentia. Selalunya pesakit akan berasa sesuatu terkeluar dari celah alat sulitnya.

"Manakala bahagian hadapan melibatkan pundi kencing (cystocele) atau pundi dan salur kencing (cystourethrocele) jatuh ke dalam faraj dan ketiga adalah bahagian belakang faraj yang melibatkan sebahagian daripada usus kecil yang jatuh di antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum) yang dikenali sebagai rectocele," kongsinya kepada mStar.

Punca peranakan jatuh

Antara sebab yang menyebabkan peranakan jatuh ialah kehamilan dan kaedah bersalin yang memerlukan bantuan seperti forceps.

Selain dari itu, berat badan berlebihan serta faktor usia lanjut juga merupakan salah satu sebab terutamanya selepas menopaus.

Lain-lain sebab termasuk sembelit, batuk berterusan atau sering mengangkat sesuatu yang berat di mana keadaan ini boleh menyebabkan kelemahan pada otot pelvis dan ligamen.



Merokok juga antara faktor kemungkinan boleh menyebabkan peranakan jatuh.



Tanda-tanda peranakan jatuh

Anda mungkin tidak mempunyai gejala sama sekali dan hanya mengetahui bahawa anda mengalami peranakan jatuh selepas pemeriksaan kesihatan seperti 'pap smear' oleh pakar perubatan.

Kesukaran mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas sekiranya melibatkan pundi kencing.

Suatu lagi gejala peranakan jatuh ialah sembelit serta rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis jika melibatkan usus besar.

Jika melibatkan rahim, wanita akan merasa tidak selesa seolah-olah ada sesuatu yang terkeluar dari alat sulit.

Dalam keadaan procidentia ini, keseluruhan rahim berada di luar faraj, boleh menyebabkan luka, pendarahan dan jangkitan kuman.

Kaedah pencegahan dan rawatan

Secara amnya, pencegahan dan rawatan individu bergantung kepada pelbagai faktor seperti usia, simptom, jenis peranakan jatuh, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya kepada kehidupan pesakit dalam jangka masa panjang.

Salah satu cara pencegahan ialah mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, diet, bersenam dan mengelakkan sembelit serta aktiviti yang boleh menjadikan keadaan lebih teruk seperti mengangkat berat.



Senaman Kegel boleh menguatkan otor-otot pelvis yang lemah.

Senaman Kegel juga dapat menguatkan semula otot-otot pelvis yang lemah.

Untuk pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan seperti wanita muda yang masih mahu hamil dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan, pesari faraj iaitu alat berupa gelang yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim daripada jatuh.

Alat ini hendaklah diganti setiap tiga bulan dan hendaklah dimasukkan oleh pakar perubatan.

Pembedahan untuk peranakan jatuh adalah pilihan terakhir sekiranya rawatan lain tidak berjaya untuk menyokong organ pelvis sebagai bantuan meredakan gejala ini.

Terdapat beberapa jenis pembedahan untuk masalah ini yang selalunya bergantung kepada betapa seriusnya penyakit dan gejala wanita tersebut.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain