Ketahui tahap kesihatan dan keupayaan diri sebelum sertai aktiviti lasak - “Ada sesetengahnya ikut kawan...” - Famili | mStar

Ketahui tahap kesihatan dan keupayaan diri sebelum sertai aktiviti lasak - “Ada sesetengahnya ikut kawan...”

Kecenderungan minat dalam aktiviti mengeluarkan peluh ini sebenarnya dari satu sudut dilihat sebagai suatu yang sangat positif.

AKTIVITI sukan terutamanya dalam kalangan generasi muda semakin mendapat perhatian atas kesedaran untuk menjalani gaya hidup lebih sihat dan aktif.

Sukan lasak yang mencabar adrenalin seperti berbasikal, mendaki gunung atau membina otot di gimnasium adalah antara aktiviti menjadi pilihan anak muda.

Kecenderungan minat dalam aktiviti yang mengeluarkan peluh ini sebenarnya dari satu sudut dilihat sangat positif. Apatah lagi, sebelum ini kita sering kali gusar mengenai peningkatan statistik kadar obesiti negara dalam kalangan generasi muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Letih emosi, buang lemak boleh ganggu degupan jantung anda

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! Golongan milenial... anda terdedah kepada penyakit ini

Akan tetapi, tahukah anda bahawa aktiviti fizikal yang sinonim dengan 'gaya hidup sihat' ini juga sebenarnya sangat berisiko mengancam nyawa seseorang tanpa disedari?

"Tahap kesedaran masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan sangat bagus tetapi adakah mereka melakukannya dalam keadaan selamat? Memburukkan lagi, apabila dia sudah lama tidak bersukan dan tiba-tiba melakukannya.

"Ini sangat bahaya. Mungkin dia sudah penat ketika melakukan aktiviti fizikal tetapi tetap memaksa diri sekali gus mendedahkannya kepada risiko 'mati mengejut'," kata Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon kepada Bernama.


Punca utama mati mengejut ketika bersukan disebabkan serangan jantung akibat daripada saluran darah koronari jantung tersumbat.

Mati mengejut

Hakikatnya, isu mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baharu, malah sudah beberapa kes berhubung dengannya dilaporkan dalam media sekali gus memerlukan permasalahan ini diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh.

Misalnya, seorang guru lelaki berusia 39 tahun maut ketika bermain badminton di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, Balik Pulau akibat serangan jantung dua tahun lalu.

Pada tahun sama, hasrat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mahu menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak kesampaian apabila disahkan meninggal dunia ketika bermain futsal di Taman Cahaya, Sabak Bernam.

Manakala pada 2017, lelaki berusia 49 tahun rebah dan tidak sedarkan diri ketika bermain futsal sebelum disahkan meninggal dunia di gelanggang futsal di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Begitu juga pada 2016, seorang lelaki berusia 33 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas bermain futsal bersama rakan-rakannya di Subang Jaya.

Pada Rabu, pengarah muzik terkenal Faizal Uzir atau Lok U meninggal dunia apabila mengalami sesak nafas sebelum rebah selepas pulang melakukan aktiviti joging.

Pengarah muzik terkenal, Lok U meninggal dunia selepas pulang daripada aktiviti joging.

Ini sebahagian kes mangsa mati mengejut dan apa yang membimbangkan adalah kebanyakan mereka masih muda dan berusia lingkungan bawah 50 tahun.

Kematian ini sekali gus membuktikan bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah.

Jangan ambil ringan pemeriksaan kesihatan

Mengulas lebih lanjut mengenainya, Dr Jeffrey berkata punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat penyumbatan salur darah koronari jantung.

"Keadaan ini dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan.

"Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan adalah sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Ini kerana, bukan semua aktiviti fizikal sesuai untuk kita.

"Ada sesetengahnya ikut kawan. Apabila kawan pergi berlari marathon, kita pun nak buat juga, bila dia daki bukit, kita pun nak juga. Tetapi, kita tidak periksa kesihatan dan tidak tahu tahap apa atau setakat mana keupayaan diri.

"Pengalaman saya aktif bersukan basikal sejak lima tahun lepas mendapati ada beberapa rakan mengadu sakit dada apabila buat aktiviti sukan. Apabila saya tanya adakah mereka buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu, ramai kata tidak," katanya.

Trend semasa orang ramai yang ingin menyertai sukan ekstrem atau yang memerlukan daya ketahanan, kecergasan fizikal tinggi seperti larian marathon, berbasikal, boleh membahayakan sekiranya ada kelainan jantung yang tidak dikenalpasti terlebih dahulu.

Bagaimanapun, permasalahan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baharu berjinak dalam sukan bahkan golongan aktif aktiviti fizikal juga tidak terkecuali.

Malah, sudah beberapa atlet tempatan mahupun luar negara yang masih muda meninggal dunia secara mengejut ketika beraksi di padang.

Bersukan , Jantung , Joging , koronari jantung

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain