suria

Hidup lebih berkualiti jika pakar perubatan uruskan sakit anda

Pesakit akan terus merasai kesakitan walaupun proses penyembuhan sudah melebihi tiga bulan bagui sakit kronik.

PERASAAN marah, bimbang dan kemurungan juga boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami tahap kesakitan kronik, memandangkan pesakit dalam keadaan yang lemah dan serba kekurangan.

Menerangkan mengenai situasi itu, Perunding Neurosurgeri Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM), Dr Nor Faizal Ahmad Bahuri memberitahu, pendekatan antara disiplin (pelbagai bidang) adalah kaedah mengurangkan penderitaan pesakit dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Dr. Nor Faizal menjelaskan, sakit adalah deria tidak normal yang boleh dirasai apabila berlakunya kecederaan pada tisu badan seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Influenza... Fakta yang perlu anda tahu mengenai virus ini

Kesakitan boleh dibahagikan kepada sakit akut dan kronik di mana sakit akut muncul secara tiba-tiba selepas kecederaan terjadi dan akan berlanjutan selama beberapa minit.

Sakit ini boleh juga dirasai selama berhari-hari dan kadang-kala berlarutan sehingga berminggu-minggu lamanya bergantung pada proses penyembuhan tisu.

"Bagi sakit kronik, pesakit akan terus merasai kesakitan walaupun proses penyembuhan sudah melebihi tiga bulan.

"Ia (sakit kronik), bukan sahaja sakit secara fizikal tetapi ia juga dikaitkan dengan kesakitan emosi dan perubahan dalam tingkah laku ekoran ketidakselesaan untuk tempoh yang lama," kata Dr Nor Faizal.

Rasa sakit terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai sakit kronik, Pakar Anestesiologi Profesor Dr Marzida Mansor pula berkata sakit kronik boleh dibahagikan kepada sakit kronik primer dan sakit kronik sekunder.

Sakit kronik primer adalah kesakitan akibat penyakit itu sendiri, manakala sakit kronik sekunder pula adalah simptom sakit kronik yang berpunca daripada keadaan sakit tersembunyi pesakit itu.

Sakit kronik primer dicirikan sebagai ketidakupayaan atau penderitaan secara emosi yang bukan disebabkan oleh diagnosis sakit kronik lain. Contohnya sakit seumpama itu ialah sindrom kesakitan umum seperti sakit otot kronik, sakit kepala primer, sindrom usus rengsa dan sakit pelvis kronik.

"Terdapat juga sakit kronik sekunder yang disebabkan oleh penyakit dasar (underlying disease) seperti kanser, kesakitan selepas pembedahan atau kesakitan selepas trauma.

"Kesakitan neuropatik kronik akibat lesi (lesion) dalam sistem saraf somatosensori, sakit kepala sekunder kronik atau kesakitan orofasial, kesakitan viseral sekunder kronik dan kesakitan otot berangkat (musculoskeletal) sekunder kronik," jelas Dr Marzida.

Merawat sakit

Menurut Pakar Radiologi Intervensi Dr Norshazriman Sulaiman, pakar pengurusan sakit terdiri daripada sekumpulan doktor pakar yang akan merawat pesakit yang mengadu tentang kesakitan mereka.

"Terdapat pelbagai cara untuk merawat sakit, sama ada secara konvensional dan bukan konvensional.

Sakit kronik sekunder disebabkan penyakit dasar seperti selepas pembedahan atau trauma.

"Secara keseluruhannya, terdapat banyak kaedah untuk merawat sakit, seperti yang anda lihat di sini terdapat tiga pakar berbeza (dari PPUM) dengan kepakaran masing-masing (Dr. Nor Faizal, Dr. Marzida dan Dr. Norshazriman), kami bersama-sama mereka cipta kaedah multidisiplin bagi menguruskan sakit," katanya.

Antara rawatan yang disediakan pusat pakar berkenaan termasuk analgesik oral yang boleh meredakan rasa sakit seperti ubat paracetamol dan ubat anti-radang paracetamol dan ubat-ubatan lain yang berkaitan.

Selain itu terdapat prosedur yang tidak invasif seperti suntikan steroid, suntikan tulang belakang, gangguan pada sistem saraf perifer dan suntikan ubat pada titik pencetus tertentu.

Dr Norshazriman menegaskan bahawa terdapat beberapa keadaan sakit yang memerlukan invasif terapi imej minimum yang disediakan oleh ahli radiologi intervensi.

Hari ini, katanya, rawatan radiologi intervensi canggih amat diperlukan secara meluas dalam bidang onkologi, sekaligus akan mewujudkan cabang lain dalam pengurusan onkologi moden.

Katanya, bidang radiologi intervensi kini sedang berkembang pesat dalam bidang onkologi sekali gus membuka peluang pengembangan cabang lain dalam pengurusan onkologi moden.

"Kaedah ini melibatkan terapi yang disasarkan terus menuju ke bahagian tumor," kata Dr. Norshazriman.

Pakar Radiologi Intervensi  PPUM, Dr Norshazriman Sulaiman.

Beliau menambah, selain cara konvensional merawat kesakitan, terdapat juga rawatan alternatif atau pelengkap seperti hipnosis, akupunktur, yoga dan senaman.

Kaedah sebegini telah mendapat pengiktirafan sebagai sebahagian kaedah menguruskan kesakitan di dunia barat dan turut diiktiraf di Malaysia.

Selain itu, Dr. Marzida menjelaskan, kadang-kala pembedahan mungkin diperlukan untuk meringankan kesakitan kronik dan bagi kes sedemikian, pesakit akan dirujuk pada pakar bedah untuk penilaian lanjut serta pengurusan lanjut kes pesakit berkenaan.

Pendekatan ini sesuai dalam kes-kes seperti pembedahan tulang belakang atau penggantian sendi.

"Rawatan fisioterapi, terapi tingkah laku kognitif, latihan pernafasan dan relaksasi adalah langkah penting yang digunakan untuk merawat pesakit yang menghidap sakit kronik.

"Apabila kaedah farmakologi, kaedah fizikal dan rawatan invasive minimum tidak memberi kesan, kita mungkin menggunakan kaedah rawatan pelengkap seperti hipnosis, akupunktur, urut dan juga penggunaan rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS).

Setiap pesakit yang menjalani pembedahan akan terus dipantau pegawai kesihatan.

"Kaedah perubatan komplementari boleh membantu, namun keputusan biasanya tidak konsisten. Oleh itu, kita perlu menggunakan kaedah pengurusan sakit secara konvensional dan bukan sebagai rawatan alternatif," katanya.

Klinik mengurus kesakitan PPUM

Sejak kesakitan kronik diiktiraf sebagai entiti penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui penerbitan ICD 11 (Klasifikasi penyakit antarabangsa semakan kali ke-11) Dr. Marzida berharap individu yang menderita sakit akan berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan.

"Kami mempunyai kemudahan Klinik Sakit di PPUM. Ia adalah klinik pelbagai disiplin yang merangkumi anesthesiologi, pakar bedah saraf, pakar radiologi intervensi dan pakar pemulihan.

"Sebagai hospital berpaksikan menjaga pesakit, matlamat kami adalah untuk menyediakan kaedah pengurusan kesakitan secara holistik agar pesakit memperoleh manfaat dan menjalani semula kehidupan yang berkualiti," kata Dr Marzida.

Klinik, Sakit Kronik, UMSC

Artikel Lain