‘Liat’ buat pemeriksaan kesihatan sebab takut tahu penyakit? Ini nasihat doktor - Famili | mStar

‘Liat’ buat pemeriksaan kesihatan sebab takut tahu penyakit? Ini nasihat doktor

Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali. -foto Pixabay

RAMAI antara kita yang 'liat' melakukan pemeriksaan kesihatan.

Biasanya, pemeriksaan hanya dilakukan ketika seseorang merasakan gejala sakit atau paling tidak boleh 'lari', ketika mahu sambung belajar atau memulakan kerja baharu.

Sedangkan, doktor menyarankan agar pemeriksaan dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali supaya penyakit dapat dicegah atau mendapat rawatan awal.

Ada banyak sebab seseorang itu tidak melakukan pemeriksaan kesihatan walaupun sudah disarankan doktor.

Selain masalah wang, kebanyakan orang juga takut untuk menerima hakikat bahawa dirinya menghidap penyakit tertentu.

"Ramai yang takut untuk tahu penyakitnya. Sebenarnya ia dapat dilihat dari sudut positif, kalau sakit ia dapat dirawat lebih awal," kata doktor pakar patologi klinik RS Saint Carolus di Jakarta, Indonesia Bettia M. Bermawi.

Menurut Dr Bettia, mendapat tahu tentang sesuatu penyakit lebih awal memberi lebih banyak kelebihan berbanding ketakutan yang dialami.

Jika seseorang itu mengalami faktor risiko masalah kesihatan, misalnya kolesterol dan darah tinggi yang membawa kepada strok, langkah pencegahan dapat diambil.

"Paling tidak pun, seseorang itu boleh mengubah pola makan dan gaya hidup," kata Dr Bettia.

Satu lagi perkara yang ditakuti ramai adalah proses mengambil darah. Bukan hanya kerana takut kepada jarum suntik, ada yang takut darahnya habis apabila diambil dan dibawa ke makmal.

Dr Bettia berkata untuk pemeriksaan penyakit tertentu, sampel darah memang ditetapkan berbeza-beza dalam beberapa tabung. Pengambilan sampel darah itulah membuatkan ada yang takut dirinya kehilangan banyak darah.

"Padahal kalau dikira, empat tabung pun kadarnya tidak sampai satu sudu makan kerana setiap tabung mungkin hanya 2cc darah," jelas Dr Bettia.

Pemeriksaan kesihatan rutin sebenarnya tidaklah menakutkan. Malah, apa yang perlu ditakutkan jika penyakit lambat diketahui menyebabkan ia sukar untuk disembuhkan dan mungkin membawa mudarat.

Menurut Dr Bettia, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan secara rutin melihat kepada angka penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat seperti strok, kanser, kegagalan buah pinggang kronik, penyakit jantung kroner, serangan jantung dan diabetes.

Penyakit-penyakit tersebut sebahagian besarnya dapat disembuhkan jika dikesan awal. -Tempo

pemeriksaan kesihatan , cegah , rawatan , doktor

Artikel Lain