suria

Makan sudah, tapi perut asyik minta diisi! Ketahui 5 punca buat anda selalu rasa lapar

Kerap rasa lapar membuatkan seseorang itu makan tanpa mengira waktu. - Gambar hiasan/Pixabay

SESETENGAH orang akan memeriksa beberapa kali sama ada mereka telah membawa kunci sebelum melangkah keluar rumah, tapi ada pula orang yang tidak akan keluar tanpa membawa snek sebagai bekalan.

Pernahkah anda mengalaminya? Jika anda seorang yang mudah lapar dan perlu makan selang beberapa ketika, kemungkinan besar anda tidak boleh 'hidup' tanpa makanan.

Laman web Eat This menyenaraikan lima sebab seseorang itu mudah berasa lapar dan cara untuk mengatasinya!

Kerepek kentang adalah sejenis karbohidrat halus. - Gambar hiasan/Pixabay

1. Karbohidrat halus

Jika anda sering makan atau minum secawan air manis, emping bijirin, piza, roti putih, kerepek kentang, nasi putih mahupun pasta; anda telah memenuhkan perut dengan karbohidrat halus yang kurang bernutrisi.

Karbohidrat halus dibakar dengan cepat dalam tubuh anda dan meningkatkan kadar gula dalam darah sekali gus menyebabkan badan terganggu.

Paras glukosa yang rendah meningkatkan hormon lapar dan membuatkan anda mahu makan lebih banyak karbohidrat.

Cara atasi:

Bagi melambatkan proses pembakaran, pilih karbohidrat kompleks seperti beras perang, quinoa dan triticale, kobis, buah-buahan dan roti bijirin tulen.

Cuba minum air sebelum makan untuk hilangkan rasa lapar. - Gambar hiasan/Pixabay

2. Sebenarnya dahaga

Apabila anda berasa lapar, kebarangkalian besar anda sebenarnya dahaga dan segelas air minuman mampu membuatkan anda lupa kepada rasa ingin makan.

Sebenarnya, perbuatan minum air sebelum makan boleh menurukan beratus-ratus kalori daripada pengambilan makanan harian anda.

Cara atasi:

Jika anda teringin untuk mengunyah sesuatu, cuba minum air dan tunggu selama 20 minit sebelum makan lagi.

Jika anda masih berasa lapar, barulah makan untuk mengisi perut.

Makan sambil menonton televisyen membuatkan seseorang makan lebih banyak. - Gambar hiasan/Shutterstock

3. Makan kerana perhatian terganggu

Satu kajian dalam jurnal Food Quality and Preference yang dibuat ke atas dua kumpulan peserta mendapati, mereka yang makan sambil mendengar fon telinga yang dipasang dengan bunyi televisyen dan muzik terdorong untuk makan lebih banyak berbanding mereka yang tidak memakainya.

Cara atasi:

Jauhkan diri daripada televisyen atau komputer dan perlahankan bunyi muzik ketika makan.

Jika anda berkunjung ke restoran yang sibuk dan bising, cuba pesan makanan yang rangup.

Kajian tersebut mendapati, selagi seseorang itu dapat mendengar bunyi makanan ketika makan, ia akan membuatkan dirinya sedar tentang situasi bahawa dia sedang menikmati makanan.

Bunyi seperti tidak logik, tetapi jika anda tidak sedar bahawa anda sedang makan sesuatu, anda cenderung untuk makan lebih banyak.

Tekanan juga punca seseorang sering berasa lapar. - Gambar hiasan/Pixabay

4. Tekanan

Mereka yang mengalami tekanan akan mengeluarkan hormon epinephrine (atau dikenali sebagai adrenaline) yang menyebabkan badan bertindak balas secara 'fight-or-flight'.

Kemudian hormon cortisol pula akan dikeluarkan dan mencetuskan hormon lapar pula dirasai.

Ia juga akan menarik kumpulan sebatian organik daripada aliran darah untuk disimpan dalam sel lemak manusia.

Cara atasi:

Anda mungkin tidak dapat mengawal situasi yang berlaku dalam hidup yang membuatkan anda mengalami tekanan, tetapi anda boleh mengawal makanan yang dimasukkan ke dalam tubuh.

Apa kata anda minum teh yang boleh membantu melegakan tekanan.

Masalah tidak cukup tidur akan membuatkan selera seseorang meningkat. - Gambar hiasan/Uthscsa

5. Tidak cukup tidur

Paras hormon leptin dalam badan akan menurun sekiranya anda tidak mendapat jumlah tidur yang mencukupi.

Ini akan membuatkan selera makan meningkat dan menyebabkan anda membakar lemak lebih rendah.

Cara atasi:

Tiada cara lain selain anda perlu merehatkan mata selama tujuh ke lapan jam sehari!

lapar, tidak cukup tidur, tekanan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain