suria

Yahudi sudah tidak sabar rai kemunculan Dajal... Kita? Apa persiapan sudah dibuat?

Amalan membaca surah Al-Kahfi dapat membantu mengelak daripada fitnah Dajal.

PENYEBARAN wabak Covid-19 setakat berita ini ditulis menyaksikan lebih 2 juta kes dicatatkan di seluruh dunia dengan lebih 129,000 kematian.

Daripada jumlah itu, Amerika menunjukkan kematian tertinggi dengan lebih 26,000 kes.

Malah ketika ini, kelaparan akibat perintah berkurung dikuatkuasakan menjadi cabaran utama kepada penduduk dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Amallah baca surah Al-Kahfi, penyelamat fitnah Dajal dan ujian akhir zaman

ARTIKEL BERKAITAN: Usah takut rezeki terputus akibat Covid-19, ketahui 10 tip menjemput rezeki ketika turunnya musibah

Di Itali yang mencatatkan kematian kedua tertinggi dengan lebih 21,000 kes turut berhadapan dengan krisis makanan.

Penduduk di satu kawasan di Apulia dilaporkan memberontak terhadap pihak berkuasa gara-gara kehabisan makanan dan akhirnya berlaku kekacauan termasuklah kecurian makanan.

Petugas barisan hadapan memastikan Covid-19 tidak terus merebak dengan melakukan rawatan dan pemeriksaan ke atas mangsa.

Ada penduduk yang mengadu mereka kelaparan dan sudah beberapa hari tidak makan.

Maka benarlah seperti diceritakan, apabila tibanya akhir zaman, berlaku kelaparan dan kebuluran dan orang sanggup berbunuh-bunuhan kerana berebut sebuku roti.

Kejadian yang berlaku ini adalah antara contoh tanda akhir zaman yang harus diambil iktibar oleh kita ketika diuji dengan wabak Covid-19 ini.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah (wabak) taun, lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

“Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid”. - [HR Bukhari 3215]2.

Taun adalah sejenis penyakit yang merebak sama seeprti Covid-19. Sebab itulah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan itu sama seperti suruhan Rasulullah yang meminta umat manusia agar tidak masuk dan tidak keluar di sesuatu tempat yang terjadinya wabak.

Ia bertujuan untuk membendung penyakit agar tidak terus merebak.

Banyak contoh peristiwa yang berlaku dikaitkan dengan akhir zaman.

Sabda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit.

Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Munculnya Dajal

Selain wabak penyakit, antara perkara lain yang menjadi ketakutan umat Islam pada akhir zaman ialah munculnya Dajal yang akan membawa kemusnahan dan kesesatan kepada umat manusia.

Dajal itu digambarkan makhluk seperti manusia buta sebelah mata. Pada mata kanannya kelihatan seperti anggur yang terjuntai. Di dahinya pula ada tertulis dalam tulisan jawi iaitu "kaaf faa raa" iaitu kafir.

Daripada Ibn ‘Umar RA bahawa Rasulullah SAW menceritakan Dajal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.”

Kehadiran Dajal ialah kemuncak kepada akhir zaman yang mana ia tanda-tanda kiamat itu semakin hampir.

Menteri Kesihatan Israel, Yaakov Litzman ketika memberi reaksi tentang wabak Covid-19 yang melanda negaranya turut mengaitkan kejadian dengan peristiwa akhir zaman.

Malah dia yakin akan munculnya Dajal untuk menjadi penyelamat kepada bangsa Yahudi gara-gara segala musibah yang melanda itu.

Walaupun pendapat menteri kesihatan itu mendapat kritikan namun, Yahudi secara terang-terangan tidak sabar untuk menanti hadirnya Dajal yang kononnya bakal membawa kemakmuran kepada mereka.

70,000 orang Yahudi

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda bahawa kelak Dajal akan diikuti oleh 70 ribu orang Yahudi dari Ashbahan (sekarang masuk wilayah Iran) yang memakai baju tebal berjahit - [HR. Muslim].

Rasulullah menyebut perkataan Yahudi dari Ashbahan kerana Iran terkenal dengan penganut Syiah dan mereka sentiasa menyokong Yahudi untuk memusnahkan kaum muslimin.

Dengan segala petunjuk yang diturunkan dan ketika Yahudi tidak sabar menanti kehadiran Dajal, apakah kita sudah membuat persiapan untuk menempuh dugaan itu?

Anggota keselamatan memastikan orang ramai tidak keluar sewenang-wenangnya untuk elak penularan Covid-19

Ini kerana seperti yang diceritakan, tiga tahun sebelum munculnya Dajal, umat manusia akan melalui kehidupan paling sukar dengan kemarau panjang sehingga menjadikan bumi kering kontang.

“Sesungguhnya sebelum keluar Dajal akan berlaku tiga tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan.

“Pada tahun kedua, Dia akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan.

“Pada tahun ketiga, tuhan akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan.

“Kesemua tanah akan kering kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan.” - [HR Ibn Majah].

Sehingga turut digambarkan bahawa haiwan berkuku semuanya akan mati.

Justeru, persediaan menempuh hari sukar itu hendaklah dilakukan mulai sekarang termasuklah mendidik anak-anak yang sedang membesar dengan ilmu agama yang cukup.

Panduan menghadapi fitnah Dajal

1. Mengamalkan doa yang diajar Rasulullah

Dari Abu Hurairah RA mengatakan, Rasulullah bersabda: Apabila diantara kalian telah tasyahud akhir, maka berlindunglah kepada Allah dari empat perkara lalu beliau mengucapkan; “Allahumma inni a’udzuka min adzabi jahannam, wa min adzabil qabri, wa min fitnatilmahya walmamati, wa min syarri fitnatil masihid dajjal.” (Maksdunya; Ya Allah aku berlindung kepadamu dari azab neraka Jahannam, siksa kubur, dari fitnahnya kehidupan dan kematian, dan dari keburukan fitnahnya Al Masih Ad-Dajjal.”) - [HR. Muslim, N0. 588].

2. Membaca surah Al-Kahfi

Nabi bersabda: “Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari permulaan surah al-Kahfi maka nescaya dia akan dilindungi daripada Dajal” [fitnah dan tipu dayanya].

“Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, maka itu merupakan perlindungan baginya dari fitnah Dajal.”

“Sesiapa yang membaca satu surah al-Kahfi pada hari Jumaat, terlindunglah dia daripada setiap fitnah selama lapan hari sekali pun fitnah bila Dajal dikeluarkan.”

3. Berpegang dengan petunjuk daripada al-Quran dan al-Hadis.

4. Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.

5. Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.

6. Menyertai dan sentiasa bersama dengan jemaah Islam yang ada pada waktu itu.

7. Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.

8. Dajal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.

9. Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadis di atas.

Mudah-mudahan Allah menggantikan musibah Covid-19 ini dalam bentuk rahmat dan kasih sayangNya kepada umat manusia yang beriman dalam menguji mereka yang sabar.

Sebagai umat Islam, kita juga hendaklah mengambil iktibar atas segala yang terjadi untuk melihat betapa besarnya kuasa Allah itu dan kepada Dia sahajalah tempat untuk semua makhluk bergantung dan memohon pertolongan.

dajal, akhir zaman, Covid-19, Yahudi

Artikel Lain