TULAR satu persoalan dikongsikan seorang individu bertanya sama ada perlu menegur jemaah di hadapan sekiranya baju bahagian belakang terangkat sehingga terdedah seluar dalam dipakainya ketika sedang rukuk atau sujud.Persoalan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang sebahagiaannya turut mempersoalkan sama ada keadaan tersebut boleh menjejaskan kesahan solat. Sebenarnya, isu berkenaan pernah dijelaskan oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi satu ceramah bertajuk Hukum Tegur Orang Solat Nampak Aurat Ketika Sujud?Menurut Azhar, hukum menegur bergantung kepada keadaan di tempat solat atau masjid ketika itu."Kalau hanya ada kita dengan dia (dalam ruang solat), menegur itu wajib (fardu ain). Kalau ramai jemaah, teguran itu menjadi fardu kifayah," jelasnya.Azhar berkata, aurat lelaki ketika solat wajib ditutup dengan sempurna kerana ia merupakan syarat sah solat.Jelasnya, aurat lelaki di bahagian hadapan ialah dari pusat hingga lutut, manakala di bahagian belakang pula berada pada paras yang setentang dengan pusat.Secara anggaran, bahagian aurat belakang bagi lelaki adalah berada kira-kira sejengkal dari lurah punggung.Maka, terbatal solat jemaah tersebut sekiranya aurat terdedah itu melebihi bawah daripada lurah punggung.Sehubungan itu, Azhar menasihatkan orang ramai supaya memilih pakaian sesuai ketika menunaikan solat agar aurat tidak mudah terdedah terutama ketika rukuk dan sujud.Dalam masa sama, Azhar turut berkongsi satu cara mudah bagi membantu seseorang mengenal pasti had aurat di bahagian belakang.Katanya, mereka boleh membuat satu garisan menggunakan pen atau penanda mengelilingi pinggang pada paras yang sama dengan pusat.Menurut Azhar, sekiranya bahagian yang terdedah melebihi garisan tersebut, solat seseorang itu adalah tidak sah.Azhar turut mengingatkan jika melihat seseorang melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan kesahan solat, teguran hendaklah dibuat dengan cara baik dan berhemah.