suria

Menggugurkan kandungan kerana kemiskinan merupakan perbuatan tidak yakin kepada kuasa Allah!

Ada yang sanggup menggugurkan kandungan kerana faktor kemiskinan.

PADA zaman jahiliah kelahiran anak kebiasaan akan disambut dengan pembunuhan khususnya apabila mereka mendapat anak perempuan.

Ini kerana mereka beranggapan bahawa anak perempuan akan membawa kecelakaan dan kesengsaraan kepada mereka.

ni dirakamkan oleh Allah di dalam Al Quran Surah An-Nahl ayat 58 dan 59: (58) Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Berniqab tetapi perangai buruk, macam mana tu? Ia bukan trend! Fahami tujuan pemakaiannya seperti digariskan dalam Islam

(59) Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Apabila datangnya Islam maka Islam menghalang perbuatan membunuh anak sama ada lelaki ataupun perempuan. Islam bukan sahaja tidak membenarkan untuk membunuh perempuan bahkan Islam mengangkat martabat wanita dengan dinamakan satu surah dengan Surah An-Nisa (surah wanita-wanita).

Mengandung

Anak itu adalah rezeki daripada Allah.

Pada akhir-akhir ini kes pembuangan bayi semakin banyak dan berleluasa. Mereka memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan cara bagi membunuh anugerah Ilahi yang amat bernilai ini.

Ada dalam kalangan pasangan suami isteri sanggup menggugurkan anak semata-mata takut akan kemiskinan dan risau akan kelangsungan hidup mereka. Maka mereka mengambil jalan mudah untuk menggugurkan kandungan.

Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak diterima Islam dan ia merupakan alasan yang tidak sepatutnya digunakan. Ini kerana keyakinan mereka kepada Allah sangat-sangatlah lemah akan hal ehwal rezeki.

Sebagai umat Islam sewajibnya kita perlu meyakini dan memahami apa yang disebutkan oleh Allah dalam Al Quran.

Antara sandaran yang boleh kita ambil ialah:

1. Allah menjamin rezeki setiap makhluk

Pada asasnya, Allah adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki olehNya, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan olehNya.

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 6: Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lohmahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

Tidak mempercayai atau meragui bahawa Allah adalah pemilik rezeki sama sahaja seperti meragukan bahawa Allah adalah Pencipta alam.

Ayat-ayat yang disebutkan adalah sebahagian petunjuk dan dalil bahawa Allah adalah pemilik mutlak rezeki,bukannya manusia. Allah penentu rezeki seseorang,bukannya manusia.

553

Setiap anak itu telah dijanjikan rezeki buatnya.

2. Jaminan Allah bahawa rezeki anak telah disediakan

Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah.

Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab.

Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 31: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

Imam al-Thabari Rahimahullah berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin.

Lalu Allah pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah. - (al-Jaami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Aayi al-Quran, Ibn Jarir al-Thabari (17/437).

Ramai di luar sana yang menginginkan zuriat akan tetapi diuji oleh Allah dengan tidak mendapat zuriat walaupun sudah lama berkahwin.

nanas_169

Ada juga yang sanggup melakukan pelbagai perkara termasuk makan nanas yang dipercayai dapat menggugurkan kandungan.

Ini merupakan salah satu ujian Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Maka orang yang telah dikurniakan Allah zuriat janganlah mencipta alasan untuk menggugurkannya melainkan sekiranya ia melibatkan kesihatan ibu yang boleh terancam dengan kelahiran tersebut.

Ketahuilah bahawa anak merupakan penyejuk mata yang memberikan ketenangan kepada ibu bapa dalam keadaan kesibukan hidup yang mereka tempuhi dalam seharian.

Ingatlah bahawa apabila seseorang itu mati maka mereka akan menanti seseorang mendoakan dan mengirim pahala di sana nanti.

Oleh yang demikian yang paling layak untuk mendoakan mereka di sana nanti tanpa putus berserta kasih sayang ialah anak yang soleh dan solehah.

Sabda Baginda Rasulullah: Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya. - [HR Muslim (1631].

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya.

Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariah iaitu wakaf.

Itulah saham akhirat yang kita akan perolehi daripada zuriat yang dikurniakan Allah kepada kita.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Messi menang anugerah Ballon d'Or