suria

Berzikir perkara paling mudah dengan ganjaran besar... Bakal ahli syurga akan menyesal kurang ingat Allah saat amalan dibentangkan

Orang yang paling beruntung di dunia ini adalah orang yang mengingati Allah dalam setiap keadaan.

BERZIKIR adalah satu amalan yang sangat mudah dan apabila seseorang melafazkannya dengan beberapa perkataan, Allah SWT akan memberi ganjaran yang amat besar.

Atas sebab itu, Rasulullah SAW menjelaskan, bahawa bakal ahli syurga akan berasa kesal apabila amalan mereka dibentangkan dan mereka mendapati bahawa ada ketika yang mana mereka tidak berzikir mengingati Allah SWT.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai orang pandang ringan 4 doa diajar Rasulullah ini ketika solat... Amalkanlah agar kita terselamat daripada fitnah di dunia dan akhirat

ARTIKEL BERKAITAN: Allah tidak akan pulangkan doa seseorang dengan tangan kosong... Sapu muka selepas berdoa antara adab perlu diketahui oleh umat Islam

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada yang menyebabkan (bakal) ahli syurga itu menyesal melainkan apabila dibentangkan kepadanya saat kehidupan mereka (di dunia dahulu), sedangkan mereka tidak mengingati Allah (berzikir kepadaNya) -Hadis Riwayat al-Tabrani dan al-Bayhaqi,” katanya menerusi aplikasi Telegram.

zikirullah

Berzikir mengingati Allah SWT merupakan satu amalan mudah yang membawa ganjaran pahala yang amat besar.

Ahmad Sanusi berkata, Al-Imam al-Munawi turut menjelaskan bahawa hadis itu mengingatkan bahawa setiap saat yang dilalui oleh manusia di dunia, sekiranya tidak digunakan untuk perkara baik, maka ia akan menjadi penyesalan buat seseorang di akhirat kelak.

“Atas sebab itu beliau menegaskan, bahawa orang yang paling beruntung di dunia ini ialah orang yang mengingati Allah dalam setiap keadaan sekalipun dalam urusan dunia.

“Kata al-Munawi: Dan orang yang paling konsisten mengingati Allah, adalah orang yang paling beruntung, malah orang yang paling tinggi darjatnya dan paling mulia kedudukannya,” katanya.

Lebih dahsyat lagi, katanya, al-Imam Ibn al-Qayyim menempelak kumpulan manusia yang berat lidahnya untuk berzikir menyebut dan mengingati Allah SWT.

Malah, beliau berkata, al-Imam juga menyifatkan sifat itu sebagai hukuman yang Allah SWT tentukan ke atas mereka.

“Kata Ibn al-Qayyim: Seberat-berat hukuman yang dikenakan di dunia adalah Allah menghentikan lisan kamu dari mengingatinya,” katanya.

Justeru, seluruh umat Islam hendaklah ambil peluang untuk berzikir memuji kebesaran Allah setiap masa. Barang sesiapa yang tidak melupakan Allah, Allah juga tidak akan melupakannya.

Selain berzikir, jangan lepaskan peluang untuk mendapat syafaat di hari akhirat kelak dengan memperbanyakkan berselawat ke atas nabi Muhammad SAW.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain