suria

Jangan sesekali berkata ‘ahhh’ kepada ibu bapa… lakukanlah 8 perkara ini selagi mereka masih ada

Hargai ibu bapa selagi mereka masih ada. - Gambar Sekadar Hiasan

IBU-BAPA merupakan individu yang telah banyak berkorban untuk kehidupan kita. Pengorbanan mereka tidak dapat dibalas walau dihadiahkan segunung emas permata, ia tetap tidak akan dapat menyamai kasih sayang mereka terhadap kita.

Allah telah mewasiatkan kepada hambaNya untuk berbuat baik kepada ibu bapa masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Dosa terhadap ibu bapa dibalas Allah di dunia... Jangan dicemuh ketika usia tua mereka

Firman Allah di dalam Surah Al-Isra' ayat ke 23 dan 24: (23) Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).



Penulis segmen Addin mStar, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan bersama ibu tersayang, Rozita Abdullah.

(24) Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

"
Jika kita selami makna ayat ini maka kita akan dapati bahawa penegasan Allah dalam ayat 23 supaya manusia tidak menyekutukan Allah kemudian Allah menyuruh manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapa masing-masing.

Ini menunjukkan menghormati ibu bapa adalah sangat besar di sisi Allah. Sebagai seorang muslim kita diajarkan untuk berbakti kepada ibu bapa kita dengan pelbagai cara. Antara yang disebutkan oleh para alim ulama ialah:

1. Berdoa kepada mereka dengan doa yang baik

Ini merupakan semudah-mudah amalan berbakti kepada ibu bapa iaitu dengan mendoakan mereka diberikan rahmat dan keampunan sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.



Hargai pengorbanan ibu bapa dan buatkan mereka gembira.

2. Bersedekah untuk mereka

Sedekah merupakan satu amalan yang sangat mulia di sisi Allah. Jika kita bersedekah dengan niat ganjaran tersebut untuk ibu bapa kita maka kata para alim ulama kita juga termasuk dalam kalangan mereka yang berbakti kepada ibu bapa.

Rebutlah peluang berbakti kepada orang tua selagi mana Allah izinkan. Memang mudah menyatakan sayangnya kita kepada orang tua namun belum tentu kasih sayang itu dibuktikan dengan ikhlas apabila kedua-dua mereka dalam keadaan uzur dan menunjukkan pelbagai ragam.

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

PENCERAMAH BEBAS

3. Memberi kemudahan kepada ibu bapa.

Kebiasaan ibu bapa tidak akan menyusahkan anak-anak dan mereka sangat memahami keadaan anak-anak. Maka sebagai seorang anak yang baik janganlah kita kedekut dalam memberikan apa yang terbaik buat ibu bapa kita walaupun mereka tidak meminta. Ini kerana sebarang bentuk pemberian yang dapat memudahkan urusan mereka termasuk dalam kategori berbakti kepada ibu bapa.

4. Bersungguh-sungguh dalam menghormati mereka

Makna menghormati ibu bapa sangatlah luas. Ia juga bergantung kepada budaya sesebuah masyarakat. Jika di Malaysia mencium tangan dan dahi mereka merupakan satu kebiasaan yang sangat baik dilakukan. Begitu juga apabila berjalan di hadapan mereka kebiasaan masyarakat Melayu akan tunduk sedikit tanda hormat kepada mereka. Ini merupakan budaya yang perlu diteruskan dan diterapkan kepada anak cucu kita.

5. Memuji-muji mereka dengan menyebut kelebihan ibu bapa kita

Setiap ibu bapa ada kelebihan masing-masing. Maka dengan kelebihan itulah kita memuji mereka. Ini kerana dengan pujian itu akan menggembirakan hati dan mereka akan merasakan yang anak-anak mereka menghargai setiap apa yang dilakukan oleh orang tuanya.

6. Mendengar pandangan dan menghormatinya

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Disebabkan itu mereka akan sentiasa menegur, memberi cadangan dan membangkang jika sesuatu perkara itu tidak baik untuk kita. Jika ini yang berlaku, bermesyuaratlah dengan mereka dalam keadaan baik dan tenang. Sama ada pada urusan pemilihan kos di universiti, pekerjaan mahupun perkahwinan.



Dr Hadi bersama ibu dan adik-beradik pada hari raya Aidilfitri yang lalu.

7. Memberi perhatian ketika ibu bapa bercakap

Apabila mereka bercakap maka hendaklah kita tumpukan perhatian dengan baik dan tinggalkan segala urusan yang ada. Jika kita sibuk dengan urusan kita maka dikhuatiri akan mengguriskan hati mereka tanpa kita sedar.

8. Membuat kunjungan atau bertanya khabar ibu bapa

Ada dalam kalangan anak-anak yang duduk berjauhan dengan ibu bapa mereka. Maka jika ada peluang untuk bercuti gunakanlah sebaiknya dengan menziarahi mereka ataupun jika tidak ada ruang maka bolehlah menggunakan teknologi yang ada pada masa kini dengan menelefon bagi bertanya khabar..

Sabda Rasulullah di dalam sebuah hadis: Abdullah bin Mas'ud berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?" Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Kemudian aku bertanya lagi, Kemudian apa? Baginda menjawab: Kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Lalu aku bertanyakan lagi: Kemudian apa lagi? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah. Maka aku berhenti dari bertanyakan kepada Rasulullah. Seandainya aku bertanya dengan pertanyaan, pasti Baginda akan menambah jawapannya kepadaku. - [HR Bukhari 2574].

Buat anak-anak, sedarlah kalian hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah. Tidak ada yang dapat menggantikan tempat itu apabila mereka tiada lagi di dunia ini.

Rebutlah peluang berbakti kepada orang tua selagi mana Allah izinkan. Memang mudah menyatakan sayangnya kita kepada orang tua namun belum tentu kasih sayang itu dibuktikan dengan ikhlas apabila kedua-dua mereka dalam keadaan uzur dan menunjukkan pelbagai ragam.

Semoga Allah memelihara dan merahmati kedua orang tua kita di dunia dan juga di akhirat.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ibu, Bapa, Syurga, Doa, Addin

Artikel Lain