suria

Elok kejadian! Makan panas-panas memang terangkat... Ibu kongsi resipi cucur nasi jejari ketam kegemaran anak

Wanita kongsi resipi mudah untuk menyediakan jemput-jemput nasi jejari ketam.

CUCUR atau jemput-jemput merupakan sejenis hidangan kudapan enak untuk dinikmati bersama keluarga.

Apatah lagi jika dihidangkan bersama air teh atau kopi panas di waktu pagi atau petang, memang terangkat!

Walaupun pada asasnya cucur ini merupakan gandum yang digoreng dalam minyak, tetapi para ibu masa kini semakin kreatif untuk jadikan jemput-jemput ini lebih sedap dan berkhasiat.

Seperti Aisyah Humaira, dia berkongsi resipi cucur diberi nama Jemput-jemput Nasi Jejari Ketam dengan menggunakan nasi sebagai salah satu bahan.

"Rangup-rangup, halus dan lembut di dalam. Sedap mudah dan mengenyangkan," ujar Aisyah.

Nasi dan ketam merupakan antara bahan digunakan oleh Aisyah.

Bahan-bahan:

1. Dua cawan nasi

2. Dua cawan air

3. Dua setengah cawan kecil tepung gandum

4. 15 batang crabsticks dipotong kecil

5. Daun kucai secukupnya dihiris halus

6. sedikit garam dan serbuk cukup rasa

7. Minyak untuk menggoreng

Adunan yang dicampurkan perlu digaul sebati sebelum digoreng.

Cara-cara:

1. Kisar nasi bersama air hingga lumat dan sebati.

2. Masukkan tepung gandum ke dalam bekas, bahan kisar dan semua bahan berbaki satu persatu

3. Kacau sebati adunan. Adunan haruslah tidak terlalu cair dan pekat.

4. Panaskan minyak dan goreng adunan cucur sehingga masak keperangan.

Jika diteliti pada bahan-bahan digunakan, hidangan ini bukan sahaja sesuai dimakan oleh orang dewasa tetapi juga kanak-kanak.

Menurut Aisyah, cucur tersebut merupakan makanan disukai anaknya sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain