suria

Top 7 lokasi bazar paling menarik di Selangor... Kalau nak rasa tongmo bakar sedap kena ke Klang!

Bazar Ramadan USJ 4 yang sering menjadi tumpuan ramai. Foto: Tourism Selangor

SETIAP kali menjelang bulan puasa, salah satu perkara yang dinanti-nantikan orang ramai tentunya bazar Ramadan.

Bukan hanya umat Islam, malah penganut agama lain juga turut enggan melepaskan peluang menjamu mata serta membeli pelbagai juadah enak yang dijual, lebih-lebih lagi yang sukar didapati pada bulan-bulan lain.

Sudah pastinya setiap bazar mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutama dari segi juadah signatur yang sudah 'sebati' dengan pelanggan setianya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pening nak pilih lokasi berbuka puasa? Ini senarai bufet Ramadan 2023 termasuk harga

Untuk makluman, Selangor yang mempunyai sembilan daerah menawarkan pelbagai bazar Ramadan yang sememangnya memberikan seleksi makanan dan juadah serta tapak bazar yang selesa untuk dikunjungi.

Ianya juga menjadi pilihan para pelancong dalam dan luar negara untuk merasai makanan lokal yang menjadi sebahagian identiti dan keunikan negeri Selangor.

Kali ini, Tourism Selangor menyenaraikan tujuh bazar Ramadan terbaik di sekitar negeri ini untuk anda merasai pengalamanan gastronomi sepanjang Ramadan!

Stadium Shah Alam Bazar

Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Shah Alam.

1. Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Shah Alam, Shah Alam

Bazar ini sentiasa menjadi pilihan dan sudah tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan Shah Alam.

Aneka juadah berbuka puasa seperti sotong bakar boroi, ayam madu dan sata yang menjadi buruan ramai dijual di sini.

Kalau nak tahu, juadah dari Timur Tengah iaitu nasi mandi oleh chef terkemuka, Chef Ammar juga ada di sini.

Memang beratur setiap kali bulan Ramadan! Paling best, bazar ini menyediakan ruang parkir yang banyak serta kawasan bazar ramadan yang luas.

2. Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya

Dibuka seawal pukul 3 petang, sebanyak 160 gerai di bazar ini menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa yang dicari setiap tahun seperti nasi briyani, 'mango ice cream float' dan murtabak.

Bazar ini hanya terletak di tepi jalan, bersebelahan dengan SMK USJ 4.

3. Bazar Ramadan Padang Perbandaran, Petaling Jaya

Terdapat pelbagai juadah di 114 gerai yang ditawarkan di sini seperti sup gearbox, sayap ayam madu Tawau, kuih peneram dan kuih akok.

Terletak bersebelahan dengan Padang Perbandaran MPAJ, bazar ramadan ini merupakan antara kawasan tumpuan di Petaling Jaya.

Dengan kawasan pejalan kaki yang luas, pengunjung boleh mencari hidangan berbuka puasa walaupun pada lewat petang!

Andalas Klang Bazar

Bazar Ramadan Taman Sri Andalas.

4. Bazar Ramadan Taman Sri Andalas, Klang

Para penggemar juadah 'rare' iaitu tongmo bolehlah serbu Bazar Ramadan Taman Sri Andalas.

Selain tongmo bakar, juadah seperti ayam percik dan pelbagai jenis kebab juga terdapat di sini.

Bazar Ramadan Taman Sri Andalas merupakan antara bazar yang lama bertapak di kawasan Klang setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.

5. Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam

Terletak hanya bersebelahan dengan bangunan PKNS, bazar ini adalah antara bazar yang paling dinanti-nantikan kerana terkenal dengan keenakan juadahnya seperti popia basah, daging salai masak lemak, nasi kerabu tumis, kebab kambing dan pelbagai lagi!

Memandangkan ia antara bazar yang menjadi tumpuan, pengunjung boleh meletakkan kenderaan di bangunan berdekatan seperti di Plaza Shah Alam atau di PKNS sahaja.

6. Bazar Ramadan Jalan SS6/1, Kelana Jaya

Sebanyak 197 gerai di bazar ini menawarkan seleksi minuman yang unik seperti air kasturi asam boi, juadan seperti ayam percik, karipap gergasi dan sebagainya.

Bagi yang menggemari citarasa antarabangsa, anda pasti terliur melihat aneka sushi, pizza, pasta, dan ayam goreng korea yang turut dijual di bazar ini.

ampang

7. Bazar Ramadan LOTUS, Kuala Selangor

Terletak berhadapan Lotus Kuala Selangor, bazar ini mengumpulkan juadah berbuka puasa lokal seperti makanan tradisi Jawa iaitu nasi ambeng dan pecal.

Selain itu, juadah seperti roti john, tepung pelita dan ayam golek juga antara juadah penarik di bazar ini.

Pengunjung dinasihatkan untuk datang ke bazar ini seawal pukul 3 petang, memandangkan ia antara bazar yang agak padat dengan pengunjung sepanjang bulan Ramadan!

Pastinya kunjungan ke bazar-bazar ini tidak akan mengecewakan dan memberikan pengalaman yang menarik dan tentunya membuatkan anda rambang mata!

Inilah masa terbaik untuk kita memberi sokongan kepada peniaga-peniaga kecil. Ayuh, jom terjah!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain