suria

Dulu ranking nasi lemak sekadar OK, kini roti canai Malaysia dinobat makanan jalanan nombor 1 dunia!

Roti canai merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia dan sering dimakan pada waktu pagi

ROTI canai merupakan hidangan 'wajib' untuk sarapan bagi kebanyakan rakyat Malaysia dan semestinya lebih menyelerakan jika dihidang bersama minuman teh tarik, rasanya pasti lebih wow!

Meskipun 'asal usulnya' dari hidangan paratha yang berasal dari India, namun resepi yang dibawa masuk oleh pendatang negara tersebut suatu ketika dahulu telah diubah suai mengikut citarasa tempatan sebelum dijenamakan sebagai roti canai.

Ia bukan sahaja dekat di hati masyarakat setempat, namun warga dunia sehingga dinobatkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia oleh laman web TasteAtlas, yang berpangkalan di Sofia, Bulgaria.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak cari gaduh ke? Ranking nasi lemak level OK buat ramai bengang... anggap ada agenda burukkan menu kesukaan rakyat Malaysia!

Menerusi hantaran Facebook, TasteAtlas menampilkan senarai Top 50 makanan jalanan terbaik di seluruh dunia bagi bulan September 2022, dengan roti canai mendapat skor tertinggi iaitu 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna.

Ia sekali gus mengalahkan 'nenek moyangnya', paratha yang berada di kedudukan kelima dalam carta.

Selain itu, apa yang menarik, pisang goreng juga tersenarai antara makanan paling sedap dan berada di tangga ke-42.

Bagaimanapun, makanan pencuci mulut itua bukanlah mewakili Malaysia sebaliknya diundi sebagai masakan dari Indonesia.

Senarai Top 50 yang diterbitkan Tasteatlas bagi bulan September lepas.

Berdasarkan senarai itu juga, lumpia Filipina atau 'lumpiang Shanghai' menduduki tangga kedua dengan ayam kaarage Jepun dan banh mee Vietnam masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

TasteAtlas adalah projek yang diasaskan wartawan serta usahawan Matija Babic.

Ia merupakan ensiklopedia perisa dan atlas dunia hidangan tradisional serta restoran asli.

Difahamkan, syarikat itu telah mengkatalogkan lebih daripada 10,000 makanan dan minuman di samping kira-kira 9,000 restoran di seluruh dunia.

Sebelum ini, TasteAtlas dalam posting di halaman Facebook berkongsi kedudukan makanan terbaik di seluruh Asia Tenggara dan membahagikannya menerusi empat kategori iaitu Worst (3.5 bintang dan ke bawah), OK (3.5 bintang dan ke atas), Great (4 bintang dan ke atas) dan Best (4.5 bintang dan ke atas).

Sudahlah nasi lemak satu-satunya makanan dari Malaysia yang tersenarai, ia diletakkan pula dalam kedudukan OK dengan markah 3.9 bintang berbanding Indonesia yang mempunyai tiga jenis hidangan dan berada dalam tiga kategori berbeza termasuk bubur ayam dalam kategori Best dengan 4.7 bintang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain