suria

Nikmatnya burger California Cheese Skirt! Sekali gigit terus rasa ‘melayang’

Mohanad merantau seluruh dunia untuk mendapatkan resepi burger yang terbaik.

JIKA berkunjung ke kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, lambakan restoran tidak dapat dinafikan lagi memandangkan ia adalah lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Dalam banyak-banyak premis yang ada, penulis berpeluang berkunjung ke sebuah restoran yang namanya begitu mudah diingat, Burger On 16! Mendengar namanya yang begitu unik, tanggapan awal tentu sekali menu yang dihidangkan juga menarik, apatah lagi ramai pengunjung dilihat memenuhi restoran yang terletak di Jalan Imbi ini.

Sebaik masuk, penulis disapa seorang lelaki warga asing yang tampil memperkenalkan pelbagai jenis burger dan minuman yang sememangnya mencetuskan keinginan untuk mencubanya pada masa itu juga.

Paling tidak disangka, rupa-rupanya pemuda berkenaan adalah pemilik bersama restoran berkenaan Mohanad Mudhafer yang berasal dari Iraq.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada keju meleleh, rendang ayam... Jom check-out menu rare buat kaki burger!

Apa yang menariknya, nama kedai ini diambil bersempena tahun pertama mereka mula beroperasi iaitu pada 2016, beralamat di jalan nombor 16 serta lot kedai juga bernombor sama, maka terhasillah - Burger On 16.

Burger on 16 yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur juga sesuai untuk dijadikan lokasi sambutan hari jadi. 

Terdapat lebih daripada 20 menu yang ditawarkan, penulis sempat mencuba beberapa menu paling laris antaranya Mad Cheese 300g, Crunchy Fillet, Chipotle Burger, Cowboys Fries dan paling padu California Cheese Skirt.

Penulis seolah-olah terbang di awangan ketika kali pertama menggigit California Cheese Skirt. Peh! Patty daging lembunya memang lembut, sangat juicy dan ditambah dengan hamparan kepingan cheese besar bersama gandingan sos buatan sendiri membuatkan penulis terus tersandar kekenyangan.

Apa yang istimewa di restoran ini, kesemua daging burgernya diimport dari Australia sebelum diproses. Patty daging lembu juga dikisar sehingga halus tanpa banyak campuran bahan lain dan kebanyakan resepinya dicipta sendiri oleh Mohanad yang banyak merantau ke seluruh pelusuk dunia.

California Cheese Skirt (kiri) dan Chipotle Burger.

Selain itu, penulis sangat menggemari hidangan Cowboys Fries di restoran ini. Menu ini didatangkan dengan dua pilihan sama ada daging atau ayam untuk dihidangkan bersama kentang goreng.

Sudah tentunya penulis memilih daging! Gandingan menarik antara hirisan daging, fries, keju dan cili jeruk memberikan keseimbangan antara lemak, masam dan pedas.

Namun, menu lain juga tidak kurang hebatnya. Semuanya on point!

Untuk minuman pula, penulis menggemari keempat-empat minuman yang dicuba namun yang paling menarik ialah Nutella Chocolate Milkshake dan Peanut Butter Milkshake. Rasanya tidak terlalu manis dan berlemak. Dua minuman ini perlu menjadi minuman wajib cuba jika berkunjung di sini.

Dari kiri: Peanut Butter Milkshake, Virgin Mojito, Ice Lemon Tea dan Nutella Chocolate Milkshake.

Senang cerita, burger di sini sama sekali tak sama seperti restoran lain. Maklumlah, pengasasnya yang juga pencinta burger merantau jauh ke luar negara seperti New York, Berlin dan Dubai untuk menghasilkan resipinya sendiri.

Tambah Mohanad, kedai itu diasaskan bersama dua lagi rakannya yang masing-masing rakyat Malaysia dan Australia.

"Kami bertiga merupakan kawan baik yang mempunyai minat terhadap makanan terutamanya burger, jadi kami membuka restoran ini," katanya.

Jelas Mohanad, terdapat lima sebab mengapa pengunjung perlu datang ke sini. Pertama kerana burgernya diperbuat daripada daging segar diimport dari Australia,kedua patty yang dipanggang, ketiga keju cheddar dari Amerika Syarikat, keempat milkshake serta pencuci mulut dan kopi yang memang awsome!

Cowboys Fries datang dengan dua pilihan sama ada daging atau ayam, manakala Chocolate Molten Cake with Ice Cream pula sesuai dijadikan pencuci mulut.

Bagi penggemar kopi pula, mesin untuk menyediakan minuman itu didatangkan khas dari Itali.

Ketika ditanya menu yang paling mendapat perhatian pengunjung, Mohanad berkata tentu sekali Mad Cheese 300g dan California Cheese Skirt.

Mohanad memberitahu restorannya yang berkonsepkan rustic (lusuh) sering dikunjungi warga tempatan dan antarabangsa. Terdapat juga golongan pelajar yang sering ke situ kerana ruang dan susun aturnya yang selesa.

"Kami juga memberikan diskaun kepada pelajar yang datang ke sini," ujarnya.

Ruang santai dihiasi bantal berbentuk burger dibuat bagi pelajar-pelajar yang ingin melakukan tugasan dan perbincangan.

Burger On 16 beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 1 pagi. Jadi, anda boleh pilih sama ada mahu ke sini pada bila-bila masa yang anda suka!

Selain itu, Burger On 16 juga sesuai untuk dijadikan lokasi buat anda dan rakan-rakan menyambut hari jadi dan sudah pasti ada harga istimewa yang ditawarkan apabila membuat tempahan awal.

Burger On 16, Jalan Imbi, keju

Artikel Lain