suria

Mi racun Batu Pahat... tak sah kalau tak cuba!

Resipi mi racun diubah suai daripada mi tomato dan boleh didapati dalam dua pilihan, iaitu original atau gearbox. Foto Facebook

KUNJUNGAN ke daerah ini tidak lengkap sekiranya anda tidak singgah menikmati “mi racun”.

Bagi yang tidak biasa, mungkin kedengaran menggerunkan namun di sebalik namanya yang unik itu, tersembunyi keenakan mi racun yang sebenarnya langsung tidak berbahaya.

Pemilik gerai mi racun, Muhd Hussein A Jabar, 46, berkata mi itu bukanlah beracun tetapi resepinya diubah suai daripada mi tomato yang boleh didapati dalam dua pilihan, iaitu mi racun gearbox dan mi racun original.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada keju meleleh, rendang ayam... Jom check-out menu rare buat kaki burger!

Sejarah mi racun berkenaan bermula daripada datuknya yang berasal dari India, Naina Mohd, yang datang ke negara ini pada 1960-an dan ketika itu hanya menjual pelbagai jenis rojak, termasuklah rojak mi.

“Timbul idea untuk membuat kelainan, kemudiannya atuk mencipta ‘rahsia’ resepi mi racun ini sehingga menjadi ‘ketagihan’ kepada pelanggan yang datang menikmatinya,” katanya ketika ditemui  di gerai miliknya di Taman Sri Jaya, dekat Batu Pahat baru-baru ini.

Menurut Muhd Hussein, ayah dan bapa saudaranya yang mewarisi resepi berkenaan turut memberikan kepadanya dan tiga lagi sepupunya untuk meneruskan legasi kegemilangan mi racun yang hanya terdapat di Batu Pahat.

Gerai mi racun dibuka pada pukul 4 petang hingga 11 malam. Foto Facebook

Selain gerai miliknya, sepupunya turut membuka tiga lagi cawangan mi racun ini iaitu di Jalan Sultanah, Jalan Timah Sari dan Sri Gading.

“Walaupun kini terdapat empat gerai mi racun di daerah ini, namun rasanya tetap sama kerana keempat-empatnya mewarisi resepi yang sama, kerana resepi mi racun ini adalah warisan keluarga kami,” katanya.

Muhd Hussein berkata beliau tidak menghalang mana-mana peniaga lain untuk menggunakan nama mi racun kerana yang pasti, mi yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Buat masa ini kami tidak merancang untuk membuka cawangan di luar daerah Batu Pahat, biarlah mi racun ini terus sinonim dengan daerah ini… sebut sahaja mi racun akan teringat Batu Pahat,” katanya.

Muhd Hussein berkata sejak beliau membuka gerai itu pada 2010, ramai orang kenamaan serta selebriti berkunjung untuk menikmati sama ada mi racun original atau mi racun gearbox.

Beliau berkata gerainya turut kerap menjadi lokasi persinggahan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang berkunjung ke daerah Batu Pahat serta sekitarnya dan pelanggan yang paling jauh adalah pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Thailand.

“Antara yang kerap berkunjung ke sini adalah pelakon dan pelawak terkenal iaitu arwah Zaibo, yang pasti akan singgah apabila balik ke kampung isterinya di Rengit,” katanya.

Beroperasi setiap hari, kecuali pada Isnin minggu kedua dan keempat, perniagaan mi racun ini bermula pukul 4 petang sehingga 11 malam.  - BERNAMA

mi racun, Batu Pahat, mi tomato

Artikel Lain