suria

Tenang dibuai suara alam... itulah DNA destinasi percutian di Bentong ini, siapa dah rasa pasti nak repeat lagi dan lagi!

Gibbon Retreat Bentong (GRB) di Pahang yang perjalanannya hanya kira-kira 35 minit dari Plaza Tol Gombak

APA kesimpulan yang boleh dibuat jika awalnya menempah penginapan chalet hanya semalam tetapi sebaik tiba di lokasi anda sekeluarga memutuskan untuk menambah satu malam lagi.

Logik akal, ia tentu sekali kerana destinasi pilihan itu sesuatu yang menepati citarasa anda dan anak-anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kira siang atau malam, Skywalk Menara Kuantan 188 tarikan terkini panorama 360 darjah

Bagi pencinta alam, itulah yang boleh berlaku sebaik memasuki kawasan Gibbon Retreat Bentong (GRB) di Pahang yang perjalanannya hanya kira-kira 35 minit dari Plaza Tol Gombak dan kedudukannya pula hanya 300 meter dari Lebuhraya Karak.

Awalnya memang tidak dapat membayangkan bagaimana rupa chalet yang telah ditempah, kecuali maklum mengenai kemudahan yang disediakan di situ menerusi bacaan dan juga infomasi disampaikan petugas khidmat pelanggannya yang tidak jemu melayan setiap pertanyaan yang dikemukakan.

Tiba hari yang dirancang untuk percutian keluarga selepas agak lama terperuk di rumah, hamparan kehijauan dengan kicauan burung serta unggas di kawasan sekeliling membuatkan hati tertawan.

GRB 6

Chalet dengan pemandangan hutan yang cukup menakjubkan.

Chalet dan DNA

Lebih mengujakan apabila melihat binaan chalet yang menggunakan bahan asas yang berbeza berbanding di beberapa lokasi lain yang pernah dikunjungi sebelum ini.

Senang cakap ia menggunakan struktur ringan yang kukuh daripada keluli disalut zink bagi mengelak karat, panel papan simen dan kayu serta buluh tetapi jangan bimbang kerana keutamaan tetap diberikan kepada ciri-ciri keselamatan.

Kelainan yang diterapkan adalah langkah meminimumkan penggunaan ruang di antara pokok dan batu batan sedia ada di kawasan tanah tinggi itu bagi mengelak penebangan tumbuhan di situ, selain memastikan pengunjung merasai pengalaman berbeza.

Malahan enam calet di GRB mempunyai keistimewaan tersendiri dengan DNA sama iaitu nyaman dan terasa dekat dengan alam, lebih tepat lagi hutan berusia jutaan tahun di Banjaran Titiwangsa.

Uniknya ada chalet yang dibina menghadap pemandangan pekan Bentong yang terletak kira-kira lapan kilometer dari GRB, selain chalet berdepan kolam dan tentu sekali dikelilingi kehijauan alam.

GRB 5

Jika ada yang ingin tidur bertemankan alam, khemah juga disediakan.

Dinamakan sebagai Rock Chalet, Tongkat Ali, Bentong View, Rock Pool Chalet, semuanya dapat diakses selepas melalui panorama menakjubkan kebun durian Musang King!

Memang mencabar bagi peminat raja buah itu, mujur belum tiba musimnya, kalau tidak tentu ada yang rela tunggu buahnya jatuh, mana tidaknya jarak antara chalet dengan kebun itu kira-kira 200 meter dari laluan ke chalet.

Tak lengkap rasanya kalau percutian alam sebegini tidak dimeriahkan dengan aktiviti mandi-manda terutama anak-anak. Sesuai dengan konsep yang diketengahkan, GRB menyajikan kolam mandi buatan dengan limpahan air sungai yang menyegarkan.

Bersebelahannya pula ada kawasan umum yang lengkap dengan ruang BBQ, kerusi dan meja sesuai untuk bersantai bersama keluarga atau reunion sesama kenalan bagi mengeratkan hubungan.

Laluan trekking juga ada dan ia sepatutnya menuju ke kawasan air terjun tetapi malangnya ketika kunjungan ke situ sakit mata memandang arah sungai di sebelah GRB, Sungai Mengai yang musnah akibat bencana banjir besar akhir 2021.

WhatsApp Image 2022-03-14 at 11.48.35 AM

Pengunjung juga boleh berkelah dan menikmati air sungai yang sejuk di kolam.

Tak dapat bayangkan limpahan air yang deras menghanyutkan bongkah batu gergasi dan pasir hingga menimbus sungai berkenaan.

Susulan bencana alam itu, keprihatinan pengurusan GRB harus dipuji apabila telah mengambil langkah menyediakan air mineral untuk bekalan minuman dan memasak di setiap chalet.

Pengunjung juga akan selesa kerana tempahan yang dibuat lengkap dengan bilik mandi, tandas, katil, meja kayu, sinki, dapur dan peralatan asas memasak.

Malahan ada chalet yang siap dipasang khemah di ruang luar bagi pengunjung merasakan kelainan.

Bagi yang mahu memasak, silakan dan jika ingin bersantai-santai tanpa gangguan tentu sekali tempahan makanan boleh dibuat pada harga berpatutan dan ia akan dihantar terus ke pintu chalet anda. Best kan?

GRB 3

Pemandangan indah bandar Bentong dari GRB.

Gibbon itu ungka

Berkesempatan bertemu pengasas GRB, H.P Lem ternyata latarbelakangnya selaku jurutera elektronik yang pernah bertugas selama 10 tahun di Lembah Silikon Amerika Syarika digutnakan sebaik mungkin untuk membangunkan GRB tanpa merosakkan alam.

Malahan, pencinta alam ini mendapat ilham untuk menamakan lokasi percutian itu gibbon atau ungka sempena haiwan yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai habitatnya sejak bertahun-tahun lamanya.

Mula beroperasi September 2019, kedudukan setiap chalet yang dikelilingi pokok dan batuan besar ini terletak pada ketinggian berbeza antara enam ke 12 meter dari aras lantai di mana tahap keselamatannya telah disahkan pihak jurutera sivil.

Apa yang pasti, siang dan malam anda akan sentiasa nyaman dan tenang mendengar kicauan burung dan unggas di setiap penjuru ditambah tiupan angin menyegarkan.

Sudah tentu sukar digambarkan dengan kata-kata apabila sebaik bangun tidur, halwa telinga anda bukannya hirup pikuk kenderaan tetapi nyanyian alam yang menenangkan!

GRB 2

Pengunjung boleh menikmati alam semula jadi menerusi jambatan gantung yang disediakan.

Tapi tidak dinafikan ada juga ketikanya kedengaran enjin motorsikal memecut laju di lebuh raya berdekatan.

Sepanjang tiga hari dua malam disitu kami dapat merasakan suasana malam yang berbeza, bermula dengan keadaan tenang angin sepoi-sepoi bahasa dan hari berikutnya cuaca berubah dengan hujan menyimbah bumi dan angin bertiup kencang tepi hanya seketika.

Suasana bertambah nyaman kesan hujan yang membasahi setiap ruang GRB, sungguh menyegarkan!

Yang pasti, sama ada tidur di katil atau khemah, anda akan dibuai mimpi kerana persekitarannya yang begitu mengasyikkan dan apa yang best lokasinya tidak jauh dari ibu kota tentu sekali menjadi pilihan untuk percutian singkat bersama tersayang.

Tidak dinafikan kami akan repeat lagi kerana setiap saat di GRB adalah pengalaman yang begitu berharga, malahan DNAnya bagaikan sebati dengan jiwa yang dahagakan ketenangan dan mengabadikan momen bersama keluarga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain