suria

Kalau ke Seremban jangan lupa singgah Pandu Lalu A&W... cawangan pertama berwajah retro di Malaysia, siap ada kopi Jamaica Blue!

Reka bentuk retro Pandu Lalu A&W Seremban cukup menarik.

JIKA berkunjung ke Seremban, Negeri Sembilan apa kata ambil peluang singgah ke Pandu Lalu A&W yang diberi nafas baharu!

Dengan konsep bertemakan retro tapi turut memberi sentuhan gaya moden, restoran makanan segera itu sekaligus memberi pengalaman unik dan baharu untuk dirasai pengunjung.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kira siang atau malam, Skywalk Menara Kuantan 188 tarikan terkini panorama 360 darjah

ARTIKEL BERKAITAN: Rebut diskaun 20 peratus... ambil tahu 7 perkara ini sebelum berseronok di Genting SkyWorlds!

Pembukaan itu adalah sebagai tanda penghormatan kepada kewujudan A&W yang sudah lama bertapak di negara ini kerana cawangan tersebut merupakan lambang ikonik di Seremban dan telah mencipta pelbagai memori untuk penduduk sekitarnya sejak 1978.

Menariknya mengenai Pandu Lalu A&W ini, ia menghadap keindahan Tasik Seremban yang sememangnya direka khas untuk menarik minat generasi muda.

Photo 1

A&W sudah bertapak di Malaysia sejak 1963.

Namun pada masa sama ia tetap berpegang teguh kepada legasi dan warisan jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia sejak 1963 apabila ia menjadi restoran makanan segera pertama beroperasi di negara ini.

Pengarah A&W Malaysia Sdn. Bhd, Sophia Ch'ng berkata, dengan perubahan generasi dalam tempoh beberapa dekad ia turut mengubah tingkah laku serta trend pengguna.

Dalam hal ini kata Sophia, menjadi lumrah untuk A&W terus berinovasi dan berkembang bagi memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan.

"Kita kini dalam misi memberi nafas baru kepada jenama ini bagi memastikan ia kekal relevan dan tampil menarik kepada pengguna hari ini, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

"Konsep moden-retro ini adalah hasil ke arah hala tuju baru, yang bukan hanya tertumpu kepada estetika sahaja, namun, turut menggabungkan usaha menggiat semula semua tawaran secara keseluruhan kepada pengguna," katanya.

Photo 2

Pandu lalu A&W Seremban dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 23 Februari lalu.

Sebagai usaha untuk menarik minat generasi muda, terutama dalam hal budaya kopi popular, sebahagian daripada pengubahsuaian itu turut merangkumi jenama kopi terkenal dunia iaitu Jamaica Blue yang dimiliki oleh Inter Mark Resources.

Cawangan itu adalah yang pertama di negara ini menggabungkan restoran A&W dan Jamaica Blue.

Mengambil inspirasi daripada Gunung Jamaica Blue - salah satu daerah pengeluar kopi terbaik di dunia - pengunjung Pandu-Lalu A&W Seremban akan dihidangkan dengan pelbagai seleksi Kopi Jamaica Blue yang disediakan oleh pasukan barista yang berpengalaman dan berpengetahuan.

"Gabungan Jamaican Blue dan Pandu-Lalu A&W Seremban akan membawakan pengalaman yang baharu, unik dan menyegarkan kepada penduduk di kawasan ini.

"Pada dasarnya, matlamat kami adalah untuk mewujudkan suasana dan persekitaran yang sempurna untuk dimiliki dan dinikmati oleh masyarakat di sini dengan memberi tambah nilai kepada mercu tanda ikonik di Seremban," ujarnya.

Photo 3

Aminuddin bersama Pengarah A&W Malaysia Sdn. Bhd, Sophia Ch'ng bergambar dengan maskot ikonik A&W.

Restoran itu turut dilancarkan pembukaannya oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 23 Februari lalu.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1963, A&W sudah terpahat di hati dan sanubari penggemarnya tidak kira tua mahupun muda yang sangat menggemari menu klasik termasuk kepelbagaian rasa Coney, keenakan waffle dan A&W RB float yang ikonik dan menyegarkan.

Malah, sejak kebelakangan ini, anak muda Malaysia mula menggemari menu khas seperti Mozza Burger dan Ayam Goreng Golden Aroma yang diperbuat daripada bahan segar bagi memastikan tahap kualiti yang tertinggi.

Pembukaan Pandu-Lalu A&W Seremban yang dihidupkan semula adalah sebahagian daripada perancangan besar oleh jenama tersebut untuk pertumbuhan dan perkembangannya di Malaysia, dengan mensasarkan pembukaan lebih 150 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2025.

Selain berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih setengah abad, A&W kini adalah entiti yang disayangi oleh rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan segenap lapisan masyarakat untuk beberapa dekad serta generasi seterusnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain