suria

Anda pentingkan percutian Go Green? Ini 8 hotel mesra alam sekitar yang boleh anda kunjungi

Hotel Penanga merupakan bangunan warisan pertama yang mendapat penarafan Emas dari Index Bangunan Hijau (Green Building Index).

AMALAN mengelakkan penggunaan straw plastik, seterusnya mengamalkan gaya hidup sifar sisa, kini rakyat Malaysia lebih peka dalam memainkan peranan mereka untuk menyelamatkan bumi.

Tinjauan Trend Pelancongan Mampan Agoda baru-baru ini mendedahkan Malaysia adalah dalam kalangan pasaran tiga teratas yang lebih cenderung memilih penginapan mesra alam dengan mengutamakan penginapan mesra alam sekitar serta mengamalkan penjimatan penggunaan tenaga semasa percutian.

ARTIKEL BERKAITAN: Putrajaya lebih mampan tak lama lagi! Bakal tarik ramai penduduk, pengunjung dan pelancong dengan inisiatif bandar pintar, hijau

Bersesuaian dengan kebenaran merentas negeri yang baru diumumkan kerajaan, berikut adalah destinasi penginapan mesra alam yang semuanya direka untuk mengurangkan impak pelancongan terhadap alam sekitar.

1

1. Element Kuala Lumpur

Terletak di Menara Ilham yang ikonik, hotel ini merupakan antara lokasi dengan kesedaran alam sekitar tertinggi di ibu negara.

Menariknya mengenai hotel ini, ia merupakan hotel pertama di Kuala Lumpur tidak menggunakan botol-botol air plastik serta mempunyai ciri mesra alam yang lain termasuklah sistem pengumpulan air hujan, lampu-lampu LED menjimatkan tenaga dan pemantau kualiti udara karbon dioksida dalam bangunan.

Selain reka bentuk mesra alamnya, bilik-bilik yang direka indah di hotel bertaraf empat bintang itu disertakan dengan perkhidmatan yang pernah menang anugerah ini menjanjikan penginapan selesa.

2 (1)

2. The Frangipani Langkawi Resort and Spa

The Frangipani Langkawi Resort and Spa terletak di Pantai Tengah yang bersih dan dikelilingi taman-taman tropika.

Hotel ini mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dengan menggunakan lampu-lampu menjimatkan tenaga dan menggunakan tenaga suria.

Pusat peranginan ini adalah satu-satunya hotel di Langkawi yang mempunyai Sistem Penapisan Air Semula Jadi 100 peratus menggunakan tumbuhan akuatik untuk merawat air buangan yang digunakan untuk menyiram pokok-pokok bunga tropika di premisnya.

alila

3. Alila Bangsar – Kuala Lumpur

Hotel terletak di Bangsar ini boleh dijadikan tempat persembunyian buat mereka yang inginkan ketenangan di bandar kosmopolitan Kuala Lumpur yang sibuk.

Apa yang menarik di hotel ini adalah para tetamu di Alila Bangsar berpeluang untuk menggunakan Beg Sumbangan (Giving Bags) di mana mereka boleh mendermakan barangan terpakai yang masih elok tetapi tidak diperlukan lagi kepada badan-badan amal tempatan.

Selain sistem pengumpulan air hujan, hotel ini juga mangamalkan pelbagai langkah untuk menjimatkan tenaga seperti mengurangkan operasi lif di luar waktu puncak dan melaksanakan amalan penggunaan pendingin hawa yang menjimatkan tenaga.

Malah, hotel tersebut juga mengelakkan penggunaan plastik pakai-buang dengan menyediakan botol-botol kaca yang boleh digunakan semula.

datai

4. The Datai Langkawi

Terletak di hutan hujan tropika menghadap Teluk Datai yang indah, Datai Langkawi menggabungkan kelestarian, kemewahan dan layanan istimewa dalam satu pakej unik.

Konsep pemuliharaan hidupan-hidupan liar menjadi keutamaan pelancong yang prihatin terhadap alam sekitar jika mereka menginap di sini.

Dengan lokasi hutan hujan mengagumkan dan seni bina yang pernah meraih anugerah, para tetamu di Datai Langkawi boleh mendekati alam semula jadi dengan selesa.

Pusat peranginan ini menawarkan pelbagai jenis penginapan menepati citarasa daripada villa tepi pantai ke penginapan yang luas di dalam hutan hujan.

mangala

5. Mangala Resort & Spa - Kuantan

Mangala Resort and Spa merupakan hasil usaha rejuvinasi 15 tahun bagi melakukan transformasi ke atas sebuah tapak perlombongan yang ditinggalkan dan menjadikannya sebagai sebuah tempat perlindungan damai dan menghijau.

Vila-vila indah terdapat di sini dikelilingi oleh ladang kelapa sawit, taman bunga dan herba eksotik, dusun buah-buahan, tasik dipulihkan dan tanah lembap yang belum diterokai.

Mangala menyokong usaha mengurangkan penggunaan tenaga dengan menggunakan peralatan dan sistem tenaga hijau di mana langkah-langkah ini termasuk penggunaan sistem kad kunci untuk memadamkan lampu bilik, penentu masa untuk lampu, dan pemampat alat pendingin hawa yang menjimatkan tenaga.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memulihara ekosistem setempat, kakitangan di pusat peranginan ini menggunakan langkah-langkah mesra alam seperti penggunaan kereta buggy dan basikal untuk tetamu dan larangan memburu, memancing atau membunuh hidupan liar di kawasannya.

Selaras dengan misinya untuk mempromosi pemuliharaan alam semula jadi, pusat peranginan ini menawarkan peluang kepada para tetamunya untuk mempelajari sejarah dan pendekatannya untuk memulihara alam semula jadi menerusi aktiviti lawatan eko Mangala dan berjalan kaki untuk meneroka alam semula jadi (Nature Walk).

penaga

6. Hotel Penaga - Pulau Pinang

Bermula dengan tiga barisan rumah teres dan rumah kedai dua tingkat, hotel ini menggunakan bahan-bahan kitar semula untuk proses pemulihan dan pembinaan semula.

Atap genting yang digunakan diperolehi daripada bangunan-bangunan yang telah diruntuhkan di Pulau Pinang manakala struktur dan lantainya diperolehi dari bangunan-bangunan era penjajahan dari serata Semenanjung Malaysia.

Hotel ini mengamalkan amalan mesra alam dalam operasinya dengan penggunaan lampu LED yang menjimatkan tenaga, dan bekalan elektrik ke bilik yang dikawal oleh sistem yang boleh memutuskan bekalan elektrik apabila para tetamu tidak berada di bilik mereka.

Selain daripada itu, hotel ini juga mempunyai kolam renang dengan air garam yang dapat mengelakkan penggunaan bahan kimia, dan mengitar semua sisa buangan biorosot dari dapur untuk menghasilkan bahan baja.

sutera

7. Sutera Sanctuary Lodges at Kinabalu Park - Sabah

Menampilkan diversiti ekologi yang mengagumkan di Taman Kinabalu, salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO yang pertama di Malaysia, Sutera Sanctuary Lodges meletakkan perlindungan alam sekitar sebagai nilai teras dalam usahanya untuk melindungi persekitaran alam semula jadinya.

Pusat peranginan ini juga mengalakkan para tetamunya untuk membantu menyelamatkan Bumi kita, dengan langkah-langkah mesra alam seperti menggunakan semula tuala untuk mengelakkan pembaziran air, dan mematuhi Hari Bumi (Earth Day) dengan memadamkan lampu-lampu yang tidak diperlukan.

Para tetamu juga boleh memilih cara mereka yang tersendiri untuk menikmati keajaiban alam semula jadi dengan menyertai pelbagai aktiviti eko-pelancongan yang ditawarkan seperti mendaki Gunung Kinabalu atau bersiar-siar di hutan dara.

alunan

8. Alunan Resort – Pulau Perhentian

Tersergam di atas lereng bukit berbatu-batan, menghadap kebiruan Laut China Selatan dan dikelilingi oleh rimbunan yang menghijau, Alunan Resort merupakan sebuah pusat peranginan yang mesra alam yang terletak di Pulau Perhentian Kecil.

Semua bilik suite dua tingkat di pusat peranginan ini adalah unik kerana dibina mengikut landskap semula jadi pulau tersebut, agar tidak mengganggu ekologi setempat.

Setiap suite menampilkan dek bumbung terbuka persendirian dan juga panel kaca dari lantai ke siling untuk mempamerkan pemandangan hutan hujan dan juga lautan yang indah dari dalam bilik.

Pusat peranginan ini juga memainkan peranan penting dalam usaha mempermudahkan ekosistem marin di pulau tersebut melalui Projek Batu Karang Alunan.

Uniknya resort ini adalah para tetamu berpeluang untuk turut serta membantu projek ini dengan secara langsung dan mempelajari cara-cara untuk melindungi terumbu karang.

Selain daripada itu, pusat peranginan tersebut juga tidak menggunakan plastik pakai-buang, sebaliknya menyediakan botol air dan straw logam yang boleh digunakan semula kepada para tetamunya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain