suria

Hebatnya! Pak Wan kayuh basikal 600km sampai ke Thailand semata-mata nak promosi Malaysia

Pak Wan akan menamatkan misi kayuhan sejayuh hampir 600 kilometer dalam tempoh lapan hari. - Foto BERNAMA

USIANYA mungkin sudah mencecah 73 tahun namun ia tidak menghalang Wan Hashim Wan Mahmood untuk melakukan kayuhan solo menjelajah selatan Thailand sejauh 600 kilometer sejak 25 Disember lalu.

Objektif kayuhan Wan Hashim atau lebih mesra dengan sapaan Pak Wan adalah satu, bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dan Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK2020).

ARTIKEL BERKAITAN: Roti bakar enak, kaya sejarah... ruginya kalau ke Johor tapi tak singgah Kluang Rail Coffee

Pak Wan memulakan kayuhannya di Kota Bharu, Kelantan sebelum menuju ke Rantau Panjang di Pasir Mas dan meneruskan perjalanan memasuki selatan Thailand menerusi Sungai Golok.

Pak Wan mendapat sokongan keluarga dalam misinya. 

Dari situ, Pak Wan akan bergerak ke Hatyai, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan dijangka kembali ke Rantau Panjang pada 1 Januari depan.

"Sepanjang kayuhan ini saya akan berhenti di beberapa tempat tumpuan pelancong dan orang ramai di selatan Thailand bagi mempromosikan tempat menarik yang ada di Malaysia dan Kelantan sempena VM2020 dan TMK2020," katanya.

Pak Wan terdahulu diraikan dalam sebuah acara pelepasan kayuhan solonya di Pejabat Tourism Malaysia cawangan Kelantan yang turut disemprunakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin serta Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud.

Pak Wan akan melengkapkan misinya dalam masa lapan hari. 

Memberitahu tentang persiapan sebelum misinya itu, Pak Wan berkata, setiap hari sejak sebulan lalu dia akan melakukan kayuhan sejauh 40 kilometer bagi meningkatkan stamina.

"Saya juga akan berkayuh ke Rantau Panjang atau Takbai di selatan Thailand setiap seminggu sekali. Kebiasaannya saya akan memulakan kayuhan pada awal pagi antara pukul 8 pagi yang mengambil masa dua jam," katanya.

Kata Pak Wan, dia amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Tourism Malaysia Kelantan dan MOTAC Kelantan selain ibunya, Che Hasmah Ahmad, 89, isterinya, Faridah Daud, 68, dan ahli keluarga. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain