Wow...peraduan tawar hadiah bermalam di Tembok Besar China! - Destinasi | mStar

Wow...peraduan tawar hadiah bermalam di Tembok Besar China!

MENERUSI peraduan di internet, lapan pemenang bakal bermalam di salah satu daripada tujuh keajaiban dunia iaitu Tembok Besar China.

Dianjurkan oleh aplikasi tempahan bilik Airbnb, mereka sudah melakukan transformasi dan membina bilik tidur serba indah di menara tinjau tapak bersejarah itu.

Peraduan yang berakhir pada Sabtu lalu meminta peserta supaya menghantar esei pendek mengenai kepentingan penyatuan antara budaya.

Empat pemenang bakal diberi penginapan satu malam bermula 4 hingga 8 September depan.

Lebih menyeronokkan, pemenang turut dibenarkan membawa seorang tetamu untuk menemani mereka.

Namun, ia mengundang perdebatan warga maya yang gusar sekiranya ia bakal menyebabkan kerosakan kepada mercu tanda berusia 2,600 tahun itu.

Lokasi bersejarah ini menerima lebih 10 juta pelancong pada setiap tahun.

"Tembok Besar China adalah lokasi sejarah yang dilindungi, mereka tak patut jadikannya sebagai rumah inapan.

"Jadi sekarang tinggalan-tinggalan sejarah boleh disewakan kepada pelancong demi keuntungan," tulis beberapa netizen di laman sosial.

Namun, wakil Airbnb China menerusi laman Twitter menjelaskan bahawa aktiviti itu lebih bersifat kepada penjagaan sejarah dan budaya.

Malah, mereka juga berjanji tidak akan mengubah walau seinci pada struktur asal binaan itu.

Tembok Besar China menerima lebih 10 juta pengunjung pada setiap tahun.

Setakat ini, tiada undang-undang melarang mana-mana pihak bermalam di lokasi itu.

Malah, terdapat beberapa syarikat pelancongan turut menawarkan pakej perkemahan di Tembok Besar China. - South China Morning Post

Tembok Besar China , Airbnb

Artikel Sebelum

Artikel Berikut