Badminton Kutip Empat Emas - Sukan SEA 2017 | mStar

Badminton Kutip Empat Emas

Atlet negara Didin Taresoh berjaya meraih pingat emas dalam acara badminton kelas SS6 RR3 lelaki akhir selepas menewaskan rakan sepasukannya Muhammad Naim Ahmad Halmi dengan 21-1, 24-22. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Skuad badminton para negara beraksi cemerlang serta menepati sasaran meraih empat pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) (KL2017) yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Kilaun emas pertama skuad negara disumbang pemain berkerusi roda, Madzlan Saibon yang muncul juara kategori WH2 menewaskan wakil dari Vietnam, Truong Ngoc Binh 21-10,21-10 dalam perlawanan akhir.

Pingat gangsa di kongsi bersama atlet dari Thailand D. Junthong dan S. Aphichat setelah kedua-duanya tewas pada perlawanan separuh akhir pada Khamis.

Seorang guru dari Sabah, Didin Taresoh turut menghadirkan pingat emas buat skuad negara apabila muncul juara kategori perseorangan lelaki SS6 setelah menang semua perlawanan di dalam kumpulan yang menggunakan format round robin.

Pada perlawanan terakhir, Didin mudah menewaskan rakan senegara, Muhammad Naim Ahmad Halmi 21-1,24-22 untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Naim sementara wakil Thailand, Bunthan Yaemmali sekadar berpuas hati dengan gangsa.

Madzlan sekali lagi mengharumkan nama negara dengan meraih emas kali ini bergandingan bersama Muhammad Ikhawan Ramli yang muncul juara beregu lelaki berkerusi roda WH1-2 dengan menewaskan atlet Thailand, D.Junthong-Jakarin Homhaul 22-20,21-19.

Pingat gangsa acara berkenaan dikongsi bersama wakil Thailand, K.Chatchai-S. Aphichat dan wakil Vietnam Hoang Manh-Truong Ngoc Binh yang tewas pada saingan separuh akhir.

Cheah Liek Hou meneruskan rentak kemenangan skuad badminton dengan menewaskan wakil Indonesia Suryo Nugroho pada aksi final dalam kategori perseorangan lelaki SU5 21-11,21-15 untuk membawa pulang pingat emas.

Pingat gangsa acara itu dikongsi bersama atlet Singapura, Tay Wei Ming dan Dheva Anrimusthi dari Indonesia yang terkandas pada saingan separuh akhir.

Sementara itu, skuad negara juga menerima tiga lagi tambahan pingat perak menerusi Muhammad Huzairi Abdul Malek yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SL3 dan Ikhwan yang turut menyumbang perak di dalam kategori perseorangan lelaki berkerusi roda.

Manakala wakil tunggal wanita negara, Norrizah Rahim juga raih perak apabila gagal mencipta kejutan setelah tumpas pada aksi final kepada wakil Indonesia Warining Rahayu 18-21,16-21. - Bernama

Artikel Sebelum

Malaysia Lebur Dominasi 10 Tahun Thailand

Artikel Berikut

Abdul Latif Pertahan Emas

Artikel Berkaitan

Malaysia Kaut Enam Emas Olahraga

Khairy Ajak Orang Ramai Sokong Atlet Para Negara

Artikel Lain