suria

Kenali Didin Taresoh, atlet kerdil yang berjiwa besar... idam lakar kejutan di bumi Tokyo!

DIDIN Taresoh bakal beraksi dalam acara perseorangan lelaki SH6 di Paralimpik Tokyo 2020 nanti. — BERNAMA.

PEMAIN badminton paralimpik negara, Didin Taresoh optimis untuk melakar kejutan pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas menyaksikan beberapa kejutan yang berlaku pada Sukan Olimpik baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan pemain badminton Guatemala, Kevin Gordon yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir di pentas Olimpik, Didin berharap dapat mengulangi kejutan sama ketika beraksi dalam acara badminton perseorangan lelaki SS6 (kerdil) di bumi Tokyo nanti.

“Saya kagum melihat aksi Kevin. Siapa sangka atlet badminton Guatemala dapat melangkah ke separuh akhir?

ARTIKEL BERKAITAN: Semangat kemerdekaan iringi perjuangan atlet paralimpik di bumi Tokyo, Ganbatte Malaysia!

ARTIKEL BERKAITAN: Temasya Paralimpik berdepan cabaran lonjakan kes Covid-19 di Jepun

“Ada juga kejutan lain yang berlaku termasuk kekalahan awal beberapa pemain pilihan seperti Kento Momota dan pemain beregu Kevin Sanjaya-Marcus Fernaldi,” kata atlet berusia 46 tahun itu yang juga atlet tertua dalam acara tersebut.

Bukan saja atlet tertua, Didin yang mesra dengan panggilan Cikgu Didin juga merupakan pemain dengan ranking terendah antara enam peserta yang mengambil bahagian.

Didin berkata, walaupun diletakkan sebagai underdog, beliau bersemangat untuk mencipta kejutan selepas sebulan berlatih di bawah bimbingan Datuk Rashid Sidek bersama rakan sepasukan, Cheah Liek Hou.

"Rashid mengarahkan saya berjoging tanpa henti selama satu jam dan baru-baru ini saya diminta untuk melakukan enam set pecut sejauh 400 meter,” kata Didin.

“Ia amat sukar sehingga saya muntah selepas sesi itu. Sekarang, stamina keseluruhan saya bertambah baik dan saya boleh bertahan di gelanggang selama 40 minit dengan mudah," kata beliau. THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain