suria

Semangat kemerdekaan iringi perjuangan atlet paralimpik di bumi Tokyo, Ganbatte Malaysia!

Ziyad (kiri), Abdul Latif (tengah) dan Ridzuan Puzi bakal membawa cabaran membawa pulang emas buat negara di temasya Paralimpik Tokyo 2020. — AGENSI.

BERTANDING di bulan kemerdekaan bakal memberikan satu lonjakan semangat buat atlet paralimpik negara yang bakal mengharungi cabaran di temasya Paralimpik Tokyo 2020 bermula 24 Ogos depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin kontinjen negara mampu melakar kejayaan yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia di negara matahari terbit itu.

“Mereka bakal bertanding di bulan kemerdekaan, saya harap mereka dapat cipta kisah gembira dan membawa suasana yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Ziyad, Abdul Latif, Ridzuan Puzi sandaran emas negara di Paralimpik

"Atlet-atlet ini telah membuatkan kita bangga, tetapi kita akan lebih berbangga dengan persembahan mereka di Jepun,” katanya dalam satu majlis yang diadakan secara maya.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan tiga pingat emas bagi edisi kali ini sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakukan di Rio 2016.

Wan Ahmad Fayhasal turut menamakan lima atlet berpotensi yang dilihat mampu merealisasikan sasaran berkenaan iaitu Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly (olahraga); Cheah Leik Hou (badminton); S Suresh (memanah); dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman percaya atlet paralimpik negara mampu mencipta kejutan besar di Tokyo selepas menyaksikan beberapa kejutan yang berlaku ketika Olimpik baru-baru ini.

Beliau yang juga Chef de Mission (Ketua Kontinjen) negara berkata, para atlet sudah tidak sabar untuk memberi cabaran dalam acara yang bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September itu, selain tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tertekan.

“Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan MPM sentiasa ada untuk mereka. Apa sahaja yang diperoleh atlet Olimpik, mereka juga dapat,” katanya dalam majlis yang sama.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain