suria

Angie Dill kecil-kecil cili padi, prospek arena gusti wanita yang berpotensi

ANGIE Dill memperoleh pingat gangsa dalam Kejuaraan Dunia Kadet Wanita, di Budapest, Hungary baru-baru ini. — AGENSI.

KETIKA belum lagi berjinak-jinak dalam sukan gusti, Angie Dill tidak begitu berbeza dengan rakan-rakan sekolahnya yang lain di Cambridge High School.

Namun, namanya kini mula meniti di bibir peminat apabila menyaksikan perkembangan kariernya yang luar biasa apabila berjaya meraih pingat gangsa buat kontinjen Amerika Syarikat (AS) pada Kejohanan Gusti Remaja Dunia di Budapest, Hungary pada Julai lepas.

Bermula dengan sekadar suka-suka selepas menyaksikan abangnya beraksi di gelanggang gusti sekolah sebelum ini, Dill kini tidak lagi menoleh ke belakang apabila disebut-sebut sebagai prospek cerah AS menggondol pingat dalam acara sukan berkenaan.

Ibarat kata pepatah kecil-kecil cili padi, Dill juga dilihat tidak gentar berdepan lawan yang bertubuh lebih besar meskipun berat badannya sekadar tidak lebih 43 kilogram.

“Hebat betul pengalaman bertanding di luar negara. Saya tidak pernah melakukannya sebelum kejohanan ini.

“Ini adalah pengalaman yang sangat unik bagi saya. Saya tidak menyasarkan apa-apa dan hanya masuk ke sana untuk memberikan yang terbaik,” katanya menurut laporan Spectrum News 1.

ARTIKEL BERKAITAN: "Baik tengok gusti" - Klopp berang pengadil EPL tidak cukup tegas membendung kekasaran

Dill berkata, dia cuba untuk melupakan segala tekanan yang bakal dihadapinya selain berusaha untuk tidak terlalu memasang impian yang tinggi.

“Saya bangga dengan diri sendiri tetapi saya tetap berasakan betapa peserta lain memperoleh pencapaian yang lebih baik daripada saya.

“Dan jika saya sudah sampai ke tahap itu nanti, saya tidak mahu terlalu sombong,” katanya yang membuat latihan di Pusat Latihan Curby, di Troy dekat AS.

Ketika ini, katanya, dia hanya fokus untuk memperbaiki kelemahannya dan mahu menyumbang lebih banyak kilauan pingat buat kontinjen AS di masa akan datang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

gusti, Angie Dill, Budapest

Artikel Lain