suria

Ratu boling negara mahu pamer aksi terbaik siri terakhir di AS

Shalin berjaya menduduki tangga 20 teratas dalam lapan acara yang disertai di Amerika Syarikat sejak awal Mei.

RATU boling Malaysia Shalin Zulkifli kembali mencapai prestasi terbaiknya walaupun agak terlambat kerana siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional AS akan berakhir tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Shalin yang berusia 43 tahun itu gagal mara ke pusingan separuh akhir selepas berada di kedudukan keenam dalam kejohanan Terbuka PWBA Spokane di Washington.

Shalin melakukannya dengan baik untuk mencapai peringkat 12 teratas dalam kejohanan yang berlangsung di Lilac Lanes and Casino sebelum kehilangan peluang untuk layak ke separuh akhir acara stepladder.

Menerusi acara itu, Shalin berjaya menjatuhkan 5,000 pin menerusi 24 permainan yang menempatkannya di kedudukan keenam dan hanya memiliki perbezaan 24 pin daripada pemenang keempat, Kelly Kulic dari Amerika Syarikat (AS).

ARTIKEL BERKAITAN: Tewas dengan Chelsea, Arsenal pecah rekod 118 tahun

Menurut Shalin, kedudukan keenam yang diperolehinya merupakan pencapaian terbaik buatnya memandangkan dia berada di tangga kelapan ketika menyertai PWBA Go Bowling Classic di Texas awal bulan ini.

Dengan keputusan terbaharu itu, dia berjaya menduduki tangga 20 teratas dalam lapan acara yang disertai di Amerika Syarikat sejak awal Mei.

Siri jelajah itu bermula pada Januari tahun ini dan Shalin terlepas kira-kira empat kejohanan awal apabila hanya mula beraksi pada 12 Mei di kejohanan USBC Queens.

Shalin akui sangat optimis untuk memberikan yang terbaik dalam acara terakhirnya di Terbuka Wanita AS bermula Selasa di California sebelum kembali ke Malaysia.

Shalin pernah beraksi pada peringkat separuh akhir pada 2008 dan suku akhir pada 2009, dan dia mahu sekali lagi membuktikan kemampuannya.

"Akhir-akhir ini saya bermain dengan baik dan hampir melangkah ke tangga pertama dalam beberapa siri terakhir," kata Shalin.

"Saya berharap saya mempunyai lebih banyak masa. Saya tiba pada bulan Mei tanpa bermain kejohanan kompetitif hampir 18 bulan, jadi permainan saya agak hambar dan memerlukan masa untuk kembalikan prestasi sebenar.

"Banyak kesilapan saya lakukan, tetapi ia menjadi lebih baik dari satu kejohanan ke kejohanan yang lain.

"Menerusi kejohanan Terbuka Wanita AS ini, saya mahu buat yang terbaik kerana ia satu daripada dua acara utama di sini selain USBC Queens," katanya. - The Star Online

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Shalin Zulkifli, boling, Jelajah AS

Artikel Berkaitan

Artikel Lain