suria

Bisa 'ayam tua', Indra Putra akui semangat masih membara... "Perasaan kumpul 100 gol seperti julang trofi juala treble"

Khidmat Indra Putra masih ditagih.

INI baharu legend! Indra Putra Mahayuddin meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri apabila berjaya merakam 100 gol dalam aksi Liga Super.

Nama Indra Putra dalam arena bola sepak negara tidak perlu diperkenalkan, memandangkan dia antara salah seorang pemain senior yang masih bertahan dalam saingan Liga Malaysia.

Bapa kepada lima orang cahaya mata berusia dua hingga 16 tahun ini mengakui rekod terbaharu yang dicipta pada 28 April  merupakan luar biasa untuk dirinya.

Bekas penyerang kebangsaan itu meledak gol ke-100 ketika aksi Kuala Lumpur bertemu PKNS FC.

"Sepanjang lebih kurang 21 tahun, ini adalah saat paling indah bergelar pemain bola sepak.

"Untuk mencatat jumlah ini bukan sesuatu yang mudah, mengambil masa, tapi sangat puas apabila melihat hasilnya.

Indra Putra merakam gol ke-100 Liga Super ketika menyarung jersi Kuala Lumpur musim ini.

"Perasaan ketika berjaya mengumpul 100 gol sama seperti menjulang torfi juara treble iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, ketika itu saya bersama pasukan Kelantan musim 2012 dan 2013," kongsinya kepada mStar.

Berusia 37 tahun, Indra Putra yang terkenal sebagai pemain bola sepak yang tenang memberitahu, walaupun sudah dimamah usia, semangatnya masih seperti orang muda.

"Saya akan terus bermain selagi dipanggil untuk mewakili mana-mana pasukan. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya bersama pasukan The City Boys.

"Malah selagi mampu saya akan terus cuba menambah bilangan gol dari masa ke semasa," jelasnya yang pernah beraksi bersama kira-kira enam pasukan sepanjang kariernya.

Dalam pada itu, Indra Putra juga pernah digelar pemain terbaik Malaysia pada 2004 oleh jurulatih Perak, Steve Darby.

Indra Putra mengakui bersama Kelantan merangkul tiga trofi antara saat yang tidak boleh dilupakan.

Tidak mahu mensia-siakan bakat dan pengalaman yang dibina lebih dua dekad itu, Indra Putra mahu berkongsi bersama pemain-pemain muda akan datang.

"Separuh daripada hidup saya adalah sebagai pemain bola sepak dan akan tiba juga masanya nanti saya menamatkan gelaran sebagai pemain.

"Sudah tentu selepas bersara nanti, saya mahu menjadi jurulatih dan mempunyai akademi bola sepak sendiri," ujarnya yang berhasrat mencurahkan kembali pengalaman dalam bidang sama.

Bercerita mengenai keluarganya, Indra Putra memberitahu dia mempunyai tiga anak lelaki dan dua cahaya mata perempuan.

"Setakat ini ketiga-tiga anak lelaki saya masih belum nampak minatnya dalam bola sepak.

"Saya tidak kisah sama ada mereka mahu ikut jejak langkah saya atau tidak, yang penting apa sahaja minat mereka," tambahnya.

Artikel Lain