suria

Portugal nyaris seri dengan Ghana saat akhir, Ronaldo tegur penjaga gol muda selepas perlawanan

Costa nyaris memusnahkan harapan Portugal untuk menang menentang Ghana. -Reuters

CRISTIANO Ronaldo menegur penjaga gol pasukannya, Diogo Costa selepas perlawanan menentang Ghana.

Teguran Ronaldo bukan kerana Costa banyak buat silap, tetapi kerana dia nampak tak gembira walau pasukannya menang 3-2.

Sebaik saja pengadil meniup wisel tanda tamat perlawanan, Costa kelihatan sedih.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu berasa bersalah dengan kesilapannya pada minit-minit terakhir perlawanan yang menyaksikan Ghana nyaris menyumbat gol penyamaan.

Ketika itu, seperti mana dapat dilihat menerusi video tular di media sosial, Ronaldo nampak panik.

Pemain yang baru meninggalkan kelab Manchester United itu seperti marah dengan Costa.

Namun realitinya tidak begitu. Pemain berusia 37 tahun itu sememangnya menegur Costa, tetapi bukan memarahinya. Ronaldo cuma kecewa Costa tidak meraikan kemenangan yang telah diraih.

"Senyumlah, kita menang. Ia (kesilapan) tidak berakhir dengan gol kan? Kamu sepatutnya senyum, kita menang. Satu kemenangan lagi dan kita mara. Kamu boleh senyum," kata Ronaldo.

Costa merupakan keeper termuda Portugal di Piala Dunia 2022. Bagaimanapun, dia tetap menjadi pilihan utama selain Rui Patricio, 34, dan Jose Sa, 29.

Disebabkan usianya yang muda itu Ronaldo sebagai kapten pasukan berasa perlu menegur dan menggembirakannya.

Perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil ini boleh menjadi bencana psikologi jika tidak diatasi dengan baik.

Portugal akan berdepan Uruguay pada Isnin di mana perlawanan ini pasti sengit selepas Uruguay pada perlawanan pertamanya seri dengan Korea Selatan. Luis Suarez dan kawan-kawan ingin bangkit pada perlawanan ini.

Ketika ini Portugal berada di atas Kumpulan H disusuli Uruguay dan Korea Selatan. Jika menang, Selecao das Quinas akan mara ke peringkat 16 seterusnya.

Artikel Lain