suria

Ceroboh padang demi jersi Ronaldo, kanak-kanak perempuan akhirnya diketepikan bayaran denda RM14,264

Ronaldo membuka bajunya bernombor tujuh dan memberikannya kepada Addison.

SEORANG kanak-kanak perempuan yang didenda kerana menceroboh padang demi mendapatkan jersi Cristiano Ronaldo akhirnya diketepikan daripada membayar penalti €3,000 (RM14,264).

Addison Whelan, 11, merempuh kawalan keselamatan di Stadium Aviva, Dublin ketika sesi kelayakan Piala Dunia antara Ireland dan Portugal pada Khamis sebelum meluru ke arah Ronaldo.

"Saya didenda kerana menceroboh padang. Ayah saya akan membayarnya," cerita Addison dalam temubual bersama stesen radio Ireland FM104.

Kanak-kanak itu menambah: "Saya melompat melepasi halangan kerana saya berada di barisan kedua. Kemudian saya memecut ke padang, dan ada pengawal keselamatan yang mengejar namun saya teruskan pecutan.

"Saya hanya menjerit nama Ronaldo. Dia berpaling dan melihat saya lantas memberitahu yang lain untuk menjauhi dan meninggalkan saya. Saya lantas meminta jersinya kerana saya peminat tegar," ceritanya.

Kapten Portugal itu kemudiannya membuka bajunya bernombor tujuh dan memberikannya kepada kanak-kanak tersebut.

Tindakan Ronaldo itu mendapat pujian penyokong yang memenuhi stadium.

Pada Sabtu, Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) mengeluarkan kenyataan mengatakan kanak-kanak tersebut diketepikan daripada membayar denda. - ESPN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain