suria

Gimnas Amerika Syarikat disembur serbuk lada dalam serangan perkauman

Gimnas Amerika Syarikat disembur serbuk lada dalam serangan perkauman

PEMENANG pingat emas Olimpik Amerika mendedahkan dia disembur serbuk lada dalam satu serangan berunsurkan perkauman di Los Angeles.

Gimnas, Sunisa Lee berkata dia menjadi sasaran semasa menunggu kenderaan Uber bersama sekumpulan rakan Asia.

Remaja berusia 18 tahun itu memberitahu majalah Pop Sugar kejadian itu berlaku beberapa minggu lalu semasa dia berada di LA untuk penggambaran Dancing with the Stars.

Lee mencipta sejarah di Tokyo pada musim panas ini apabila dia menjadi atlet Olimpik AS pertama daripada kumpulan etnik Hmong.

Dia memenangi pingat emas dalam pertandingan individu seluruh wanita selepas rakan sepasukannya, dan juara bertahan, Simone Biles menarik diri daripada pertandingan itu.

Lee berkata mereka sedang menunggu kenderaan mereka apabila sekumpulan individu yang sedang menaiki kereta lain lalu dihadapan mereka kemudian mula mengeluarkan kata-kata berbau perkauman termasuk menyuruh mereka "kembali ke tempat asal mereka".

Malah salah seorang daripada mereka turut menyembur serbuk lada dilengannya sebelum memecut.

"Saya sangat marah, tapi tiada apa yang boleh saya lakukan atau kawal kerana mereka memecut pergi.

“Saya tidak melakukan apa-apa kepada mereka, dan disebabkan reputasi saya, ia agak sukar sebab saya tak mahu melakukan sesuatu yang boleh memberi saya masalah.

"Saya biarkan sahaja ia berlaku," katanya

AS telah menyaksikan peningkatan yang membimbangkan dalam serangan ke atas warga Asia Amerika sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada bulan April, atlet Olimpik karate AS, Sakura Kokumai telah diserang ketika berlatih di sebuah taman di California. - Evening Standard

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain