Hup Wei beri bayangan Sukan SEA 2019 mungkin yang terakhir

Hup Wei dan Nauraj masing-masing meraih pingat emas dan gangsa pada Sukan SEA 2019. Foto: Bernama

JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei tidak menolak kemungkinan bahawa Sukan SEA ke-30 di sini, bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan dwi tahunan itu.

Anak jati Selangor itu yang membuat penampilan sulung pada edisi 2007 di Korat, Thailand mendedahkan fokusnya kini adalah melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Mungkin ya (penampilan terakhir Sukan SEA)...kita tengok selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan di Stadium Olahraga New Clark City, pada Ahad.

Terdahulu, Hup Wei memenangi pingat emas dalam acara itu walaupun rakan senegara Nauraj Singh Randhawa melakukan lompatan pada ketinggian yang sama iaitu 2.21m.

Hup Wei diisytiharkan sebagai pemenang selepas kiraan semula kerana beliau melakukan lompatan pada ketinggian itu dahulu, dan perak menjadi milik Nauraj sementara atlet Thailand, Tawan Kaeodam terpaksa berpuas hati dengan kutipan gangsa setelah mencatat lompatan setinggi 2.15 meter.

Hup Wei yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 2.27 meter, pernah meraih pingat emas pada tiga edisi terdahulu 2007 di Thailand, 2009 di Laos dan 2011 di Indonesia.

Dalam pada itu, jaguh Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berpuas hati dengan pingat perak yang dimenanginya dalam acara lontar peluru lelaki dengan lontaran sejauh 17.03 meter, sekali gus memperbaiki kutipan gangsa yang diraih pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya berpuas hati dengan kejayaan saya meraih pelbagai kejayaan pada musim ini, termasuk memenangi pingat perak pada Kejohanan Para Dunia, selain menjadi atlet Paralimpik pertama memenangi pingat pada Sukan SEA," kata anak jati Gombak, Selangor itu.- Bernama

Lee Hup Wei, Ziyad, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL

Artikel Berikut

Artikel Lain