suria

Tak perlu besarkan isu KLHA - Megat Shahriman

Pemain-pemain Kuala Lumpur (merah) ketika aksi bertemu Terengganu Sabtu lalu. Foto: MHC

ISU mengabaikan barisan pemain Piala Razak Kuala Lumpur seharusnya tidak timbul sekiranya pemain dan barisan kejurulatihan memahami situasi Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) ketika ini.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pemain dan barisan kejurulatihan perlu memahami bahawa pihaknya baru mengambil alih kepimpinan KLHA sejak dua bulan lalu dengan kedudukan kewangan yang tenat.

Jelas Megat, pihaknya kini dalam proses menyelesaikan masalah itu dan berjanji untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Namun, apa yang mengejutkan situasi itu dibangkitkan ketika pasukan itu dibawah kendalian I Vikneswaran yang juga Timbalan Presiden KLHA.

"Perkara ini bukan sesuatu yang baharu, sebenarnya ia dibawah pengetahuan semua ahli jawatankuasa.

"Kami baharu saja mengambil alih tampuk kepimpinan sejak dua bulan lalu dengan keadaan kedudukan kewangan yang tenat.

"Sudah tentu kami memerlukan masa untuk memperkukuhkan kewangan persatuan tetapi dalam masa sama kami tidak akan melepas tangan dan membiarkan perkara ini berlarutan.

Megat Shahriman memberitahu pihaknya dalam proses menyelesaikan masalah yang timbul.

"Saya faham situasi yang dihadapi Vicky (Vikneswaran) yang mana dia dalam keadaan tertekan dan berkobar-kobar untuk meraih keputusan yang cemerlang di Piala Razak.

"Pada masa sama kita juga nak pastikan pemain berada dalam keadaan baik, jadi kami sebagai sebuah pasukan (exco) akan perhalusi perkara ini untuk pastikan pemain tidak diabai," katanya.

Justeru itu katanya, isu berkenaan tidak seharusnya dipanjangkan lagi. Ia susulan tindakan kapten pasukannya, Ramadan Rosli meluahkan kekecewaan dengan sikap pihak pengurusan Kuala Lumpur sejurus tamat aksi pembukaan menentang Terengganu pada Sabtu.

Walaupun dibelenggui masalah tidak mendapat elaun latihan dan hotel penginapan, Kuala Lumpur tetap berjaya mengejutkan juara bertahan Terengganu 3-2 dalam aksi itu.

Syamim Yusof muncul wira Kuala Lumpur yang pernah memenangi gelaran itu sebanyak 18 kali apabila meledak dua gol selain gol awal daripada Danial Asyraf Abdul Ghani.

Terengganu pula gagal memanfaatkan peluang selepas mendahului menerusi Mohd Abid Sufian Mat Ruslee dan Mohd Shahril Izzudin.

KLHA, Megat Shahriman

Artikel Lain