Rawang BC dapat suntikan semangat menjelang ACPLJ 2019 - Sukan | mStar

Rawang BC dapat suntikan semangat menjelang ACPLJ 2019

Pasukan Rawang BC mendapat suntikan awal daripada Christopher (empat dari kiri) menjelang ACPLJ musim ini.

MENJELANG saingan AEON Credit Purple League Junior 2019 (ACPLJ) yang bakal bermula tidak lama lagi, Kelab Badminton Rawang (Rawang BC) mendapat suntikan semangat dalam misi mereka untuk menjadi antara pencabar utama kejuaraan saingan liga remaja itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Shekhinah PR, Christopher Raj, menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Rawang BC bagi menaikkan semangat para pemain untuk bersaing di dalam saingan divisyen 1 ACPLJ 2019.

Sumbangan ini merupakan kali kedua daripada Christopher apabila mereka membuat kemunculan sulung pada musim lepas.

Majlis penyerahan cek sumbangan itu telah disempurnakan sendiri oleh Christopher kepada pengurus pasukan Rawang BC, Jeyaseelan Anthony.

Menurut Jeyaseelan, dia mengharapkan Rawang BC dapat melakar keputusan yang cemerlang pada musim ini selepas menamatkan saingan di tempat kelima daripada sembilan pasukan yang bertanding di Purple League Junior 2018.

“Kita mempertaruhkan tiga orang pemain import untuk musim ini. Mereka adalah Maharani Sekar Batari dan Achmad Ramadhan Ulul Azmi daripada Indonesia dan seorang pemain dari India iaitu Sathish Kumar Karunakaran.

“Maharani akan menjadi tonggak barisan pemain wanita sementara Sathish dan Achmad pula membantu pemain-pemain lelaki.

“Kita juga akan diperkuatkan oleh pemain-pemain daripada BAM dan SSBJ iaitu Gan Jing Err dan Valeree Siow Zi Xuan (perempuan) dan V. Poopathia melengkapkan kuota pemain lelaki,” ujar Jeyaseelan. 

Saingan ACPLJ2019 telah membuka tirai musim lalu apabila Kelab Badminton Bagan (Bagan BC) muncul juara sulung bagi kategori Divisyen 3 sekaligus menempah slot ke Divisyen 2 musim hadapan.

ACPLJ2019 akan bersambung semula pada 21-22 September ini selepas berehat memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia dan akan menyaksikan pasukan-pasukan dari Divisyen 1 dan Divisyen 2 akan berentap di Sports Arena Falim, Ipoh.

Kategori utama Divisyen 1 akan melihatkan Rawang BC bersaing bersama-sama juara bertahan Bukit Cheras BC serta pencabar-pencabar lain iaitu Ampang Jaya BC, Petaling BC serta pendatang baharu Amanjaya BC dan Kuantan Synergy BC.

Bagi Divisyen 2 pula akan menampilkan pasukan-pasukan seperti Ayer Itam BC, Tebrau City BC, PGBC, Desa Petaling BC, Serdang BC, Klang Rising BC, Ipoh BC dan Damansara BC.

Manakala pusingan kedua Divisyen 1 dan 2 dijadualkan berlangsung pada 5-6 Oktober di Challenger Sports Centre, Ampang sementara juara akan ditentukan pada pusingan akhir di Sports Arena Sentosa pada 19 dan 20 Oktober nanti.

Cristopher , Rawang BC

Artikel Lain