suria

Semangat dan tumpuan Kedah hanya untuk bergelar juara - Zaquan Adha

Pasukan Kedah menjalani latihan menjelang aksi final Piala FA Sabtu ini. Foto: KFA

"TIADA perlawanan boleh di samakan dengan suasana ketika beraksi di final dan  hanya barisan pemain yang memiliki kekuatan mental serta mengikut arahan taktikal yang ditetapkan jurulatih mampu meraih kejayaan," demikian kata Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

Mengharapkan kehadiran penyokong, katanya, peminat setia yang juga pemain ke 12 bagi kedua-dua pasukan yang akan bersaing pastinya pencetus semangat buat pemain.

"Oleh itu, lupakan kekalahan kepada Felda United dan juga kejayaan mengatasi Perak pada perlawanan liga.

“Ini adalah perlawanan akhir Piala FA kedua saya setelah berjaya menjuarainya bersama pasukan Negeri Sembilan dan saya mahu memastikan perlawanan Sabtu malam menjadi milik pasukan Kedah, sekali gus dapat mengumpul pingat kejuaraan kedua peribadi.

“Bukan mudah untuk beraksi dengan tenang dengan menampilkan kemampuan sebenar kerana tekanan pada perlawanan akhir adalah sama sekali berlainan tetapi saya yakin barisan pemain yang di miliki oleh Kedah sudah banyak pengalaman beraksi pada perlawanan akhir.

“Kini semangat dan tumpuan setiap pemain Kedah adalah untuk menjuarai Piala FA musim ini amat tinggi. Kesungguhan yang dipamerkan ketika menjalani latihan membuktikan bagaimana gigihnya kami untuk memenangi perlawanan Sabtu malam,” kata Zaquan.

Zaquan yang juga bekas ketua pasukan Malaysia berkata, kini kekuatan mental dan ketenangan barisan pemain Kedah adalah faktor yang mampu mempengaruhi kejayaan skuad hijau kuning.

Katanya,  pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Shakir Hamzah, Fernando Rodreguez, Farhan Roslan, Rizal Ghazali serta barisan pemain muda yang berpengalaman mampu memastikan permainan berlangsung dengan tenang dan teratur.

“Tidak ada perlawanan yang mudah dimenangi dan hanya usaha keras semua pemain di padang mampu menjamin kejayaan. Kalau leka atau beraksi dengan terlalu yakin tentunya akan mengundang kecewa.

“Ketika ini persefahaman di antara kesemua pemain Kedah sudah bertambah baik dan barisan pemain juga sudah faham dengan corak permainan yang di kehendaki oleh ketua jurulatih Aidil Sharin," katanya yang semakin selesa bersama Kedah kerana keakraban di antara pemain.   

Zakuan Adha, Kedah, Final FA

Artikel Lain