suria

GULM bersama sedia gegar Stadium Nasional Bukit Jalil, “Kami harap magis bawa pulang Piala FA”

Penyokong-penyokong Kedah bakal berarak ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini.

MENJELANG perlawanan akhir Piala FA Sabtu depan, penyokong Hijau Kuning sudah membuat perancangan rapi untuk memeriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Di bawah inisiatif sendiri, sebanyak 20 kelab penyokong telah dikumpul dan diletakkan di bawah satu bumbung Hijau Kuning.

Presiden Red Eagle Crew (REC) Mohd Shafik Saroni memberitahu, kelabnya juga merupakan salah satu daripada puluhan kelab penyokong di Kedah yang akan turun padang memberi sokongan.

Menurut Mohd Shafik gabungan ini merupakan satu jalinan kuat semua penyokong-penyokong untuk memberi semangat kepada pasukan Kedah beraksi menentang Perak nanti.

"Hasil daripada perbincangan, kami namakan Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM).

Lebih 2 ribu penyokong Kedah bakal bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat ini.

"Kami juga telah melantik seorang jurucakap Mohd Safarizal Mohd Sobri dari Kelab Penyokong Jaguh Utara bagi memastikan gabungan ini berjalan lancar menjelang perlawanan akhir nanti.

"Untuk perlawanan akhir ini, kami juga telah mengumpul sebanyak 30 buah bas yang merupakan inisiatif semua penyokong di bawah GULM.

"Kami merancang akan memulakan perjalanan pada Jumaat depan, bergerak secara serentak menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Ini adalah salah satu cara kami untuk menunjukkan sokongan padu kepada pasukan walaupun keadaan pasukan ada naik turunnya," jelasnya kepada mStar.

Jelas Mohd Shafiq kejayaan menjulang trofi ini adalah penting buat penyokong-penyokong Kedah bagi memastikan tiket ke saingan Piala AFC.

"Dahulunya kami sudah boleh melangkah kaki ke Piala AFC,tapi malangnya gagal kerana ada masalah teknikal yang tak dapat melihat pasukan ke sana.

Salah satu kelab penyokong Kedah yang bergabung di bawah GULM.

"Tapi kali ini dengan kemenangan Piala FA kami inginkan melihat pasukan bermain di pentas Asia. Sudah lama kami dambakan perkara tersebut selepas kali terakhir pada zaman Marlon Alex James yang dikemudikan oleh Azrai khor Abdullah.

"Kami seratus peratus yakin dengan dengan kewibawaan barisan jurulatih sekarang untuk mengemudikan pasukan.

"Walaupun jurulatih Aidil Sharin Sahak baru tujuh bulan bersama pasukan, tetapi hasilnya dapat lihat apabila kita berada di tangga ketiga Liga Super.

"Kami menagih sentuhan magis para pemain untuk bawa pulang Piala FA sekali lagi di bumi Jelapang Padi," ujarnya.

Mengenai jumlah ahli kelabnya, Mohd Shafiq memberitahu untuk rombongan ke Kuala Lumpur ini, lebih kurang 2,000 orang akan bersamanya.

"Kemungkinan akan bertambah dari semasa ke semasa. Kami akan terus meramaikan penyokong-penyokong yang ada di serata rata.

"Tujuannya adalah satu iaitu penyatuan penyokong di bawah satu bumbung. Di sini juga kami akan cuba membantu antara satu sama lain," katanya.

Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala FA ini pada tahun 2017 selepas menewaskan Pahang 3-2.

REC, GUL, Kedah Final, Piala FA

Artikel Lain