suria

KDN ambil serius permohonan FAM untuk pemain naturalisasi

De Paula dan Liridon (kanan) dalam pertimbangan KDN untuk diberi status pemain naturalisasi.

USAHA Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula serta dua pemain berdarah kacukan mungkin akan menjadi kenyataan apabila mendapat gambaran positif daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Tan Sri  Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memberikan perhatian teliti terhadap permohonan berkenaan sebelum beliau mempertimbangkan untuk membuat keputusan akhir.

"Baru-baru ini, FAM telah mengemukakan empat nama daripada pemain bukan warganegara bersandarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Mengikut syarat-syarat dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 15a yang memberi kuasa kepada menteri di atas kes-kes istimewa supaya mereka ini boleh bermain dalam pasukan kebangsaan sampai ke peringkat Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan mungkin, Insya-Allah ke Piala Dunia.

"Itu bukan perkara mustahil. Jadi, perkara itu telah dikemukakan oleh FAM pada minggu lepas dan saya telah meminta pegawai untuk meneliti dan selepas itu mereka akan bawa kepada saya untuk dipertimbangkan empat nama tersebut," katanya ketika ditemui pada sesi latihan PDRM FA di Kuala Lumpur, Khamis malam.

Bulan lalu, FAM telah menghantar dokumen kepada kerajaan untuk menjadikan pemain Kosovo, Liridon Krasniqi, 27 tahun dan pemain Brazil, Guilherme De Paula, 32, sebagai pemain naturalisasi agar boleh beraksi bersama Harimau Malaya.

Namun FAM enggan mendedahkan nama dua dokumen pemain kacukan berusia 18 yang pernah beraksi di England dan 21 tahun (Jerman) kepada umum.

Sehingga kini hanya Mohamadou Sumareh yang telah bergelar pemain naturalisasi dan impaknya bersama pasukan dilihat banyak membantu perkembangan positif Harimau Malaya.

Artikel Lain