“Pemain Malaysia pandang remeh budaya di bilik persalinan, tak dibentuk dengan disiplin pemain profesional” - De Roo - Sukan | mStar

“Pemain Malaysia pandang remeh budaya di bilik persalinan, tak dibentuk dengan disiplin pemain profesional” - De Roo

De Roo dedah rutin yang dianggap remeh sebenarnya antara masalah yang tidak nampak berlaku di kalangan pemain-pemain senior.

PEMBANGUNAN sebuah pasukan bola sepak yang sempurna tidak hanya tertumpu kepada taktik dan teknik permainan sahaja, sebalik ada beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian.

Sikap yang ditunjukkan pemain-pemain senior merupakan contoh terdekat sama ada mereka diberi asas yang tepat atau tidak ketika berada di peringkat remaja.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Peter de Roo mengakui sepanjang bertugas lebih kurang dua tahun di sini, dia menyedari ada satu 'masalah' yang dianggap sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan pemain senior.

Mungkin perkara yang dilihat ini hanya remeh di mata orang orang lain, tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak, masalah di bilik persalinan menjadi salah satu faktor disiplin pemain.

"Budaya di bilik persalinan merupakan satu masalah kepada pemain-pemain Malaysia. Mereka seperti tidak dibentuk dengan disiplin sebagai seorang pemain profesional.

De Roo (kiri) bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada majlis pelancaran Cara Malaysia pada Selasa. Turut kelihatan Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal dan Setiausaha Agung Stuart Ramalingam (kanan).

"Mereka sepatutnya hidup sebagai pemain profesional. Hanya segelintir sahaja yang menunjukkan sikap profesional itu," ujar De Roo.

De Roo berkata, seharusnya bilik persalinan menjadi ruang yang tenang dan boleh dijadikan tempat berbincang, bukan tempat untuk menimbulkan kekecohan atau huru hara.

Jelas De Roo, jika perangai itu tidak dibentuk dari awal mereka menceburi bola sepak, jangan harap pemain-pemain ini akan mengubah sikap mereka selepas berada di peringkat senior.

"Lebih baik anda membentuk mereka menjadi pemain berdisiplin ketika usia muda. Pastikan anda memilih pemain yang betul, pastikan ikut contoh yang betul tidak kira apa jua yang berlaku (seperti tidak jaringkan gol), kekalkan kepercayaan kerana situasi sukar (di atas padang).

"Bukan mudah untuk bergelar pemain profesional dan berstatus bintang dan sebab itu kita perlu memastikan mereka diajar dengan cara yang betul.

"Dalam tempoh empat lima tahun kita boleh lihat perubahan pemain-pemain ini ketika berada di peringkat nasional," tambahnya.

Mengenai DNA Bola Sepak Malaysia atau Cara Malaysia, De Roo memberitahu ia adalah kunci untuk perkembangan pemain dan jurulatih.

Ia akan memberikan pendekatan yang konsisten serta memudahkan kedua-dua belah pihak untuk melaksanakannya di setiap negeri.

budaya , bilik persalinan , senior

Artikel Sebelum

Tiada bidaan terhadap Pogba setakat ini

Artikel Lain