suria

MPFL: Penyertaan kategori wanita hambar, "Ada pasukan mahu tunggu dan lihat dulu"

Hamidin Mohd Amin (tujuh, kiri) bersama Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM Datuk Rosmadi Ismail (tujuh, kanan) bersama para wakil pasukan yang akan bersaing pada Malaysia Premier Futsal League (MPFL). Foto: Bernama

LEBIH kurang sebulan sahaja lagi, sukan futsal negara bakal berada di pentas liga profesional buat julung kalinya.

Bertahun-tahun pemain futsal amatur di setiap negeri bersaing dalam kejohanan berbentuk karnival, tetapi kini mereka semua boleh tersenyum dengan inisiatif yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi FAM, Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) bakal menjadi penanda aras untuk membawa kejohanan itu sebaris Liga Malaysia.

MPFL yang bakal membuka tirainya pada 22 Jun ini menyaksikan sembilan pasukan futsal lelaki terdiri daripada Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, KL City, Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka merebut piala MPFL.

Manakala pasukan wanita hanya disertai Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur, namun format pertandingan berbeza berbanding pasukan lelaki.

Ditanya jumlah penyertaan yang agak kecil bagi kategori wanita, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu kemungkinan sesetengah pasukan mahu mengambil langkah tunggu dan lihat terlebih dahulu.

Dua trofi menjadi rebutan kategori lelaki dan wanita.

"Saya percaya tahun kedua, lebih banyak pasukan yang akan menyertai kejohanan ini.

“Kita mahu jadikan liga futsal ini seperti acara bola sepak dalam Liga Malaysia.

"Liga yang dianjurkan kali ini mendapat pengiktirafan AFC berbeza dengan liga futsal kebangsaan sebelum ini secara karnival,” jelasnya yang yakin ia bakal memberi landskap baharu sukan berkenaan di tanah air.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Futsal Malaysia, Chiew Chun Yong mengakui liga ini merupakan landasan terbaik untuk pemilihan pemain ke skuad kebangsaan.

"Masa ini juga adalah terbaik untuk menjalani persediaan sebelum ke Kejohanan AFF.

"Sebelum ini pada September dan Oktober ada kejohanan di China, seterusnya ke Vietnam.

"Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat lebih ramai pemain muda tampil menunjukkan aksi terbaik, manakala pemain-pemain senior perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan posisi masing-masing," jelasnya kepada mStar.

FAM, Liga Futsal Premier

Artikel Lain