suria

Liga Super: JDT terus gah di tangga teratas

Pemain JDT Leandro Sebastian Velazquez (dua, kiri) meraikan jaringan bersama rakan-rakan ketika menentang Kedah pada Perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin pada Ahad malam. Foto: Bernama

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super 2019 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad malam.

Kemenangan ke-12 daripada 15 perlawanan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 39 mata manakala Kedah kekaldi tangga ketiga ketiga dengan kutipan 22 mata.

Pada aksi di Larkin, Leandro Velasquez meletakkan JDT di hadapan menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-33, sebelum pemain kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid mengesahkan kemenangan tuan rumah menerusi sepakan voli pada minit ke-86.

Terdahulu, Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Mohd Rizal Ghazali mengutip kad kuning kedua kerana mengasari pemain JDT, Gonzalo Cabrera pada minit ke-70.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur naik satu anak tangga ke kedudukan ke-10 carta Liga Super selepas membenam PKNP FC 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad warga kota berada di hadapan menerusi tolakan mudah Paulo Josue pada minit ke-11, sebelum Guilherme de Paula menggandakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah, selang tiga minit kemudian menerusi tandukan mudah.

Guilherme meledak gol peribadi kedua perlawanan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-17, namun PKNP FC berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-82 menerusi Giancarlo Rodrigues.

Guilherme melakar jaringan hatrik pada minit ke-90 menerusi rembatan daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar. -Bernama

JDT, Liga Super

Artikel Lain