Chong Wei sedia sahut cabaran Lin Dan - Sukan | mStar

Chong Wei sedia sahut cabaran Lin Dan

Chong Wei dan Lin Dan (kanan) mahu beraksi di pentas Sukan olimpik 2020.

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersedia menyahut cabaran seteru utamanya, Lin Dan untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, 2020 sekali gus melengkapkan aksi 20 tahun di pentas Olimpik itu.

Chong Wei berkata beliau sangat berbesar hati apabila mendapat kata-kata semangat daripada pemain terkemuka China itu, yang menyatakan tidak akan berundur dalam dunia badminton selagi beliau masih mahu beraksi.

“Saya rasa bangga apabila dia dilaporkan berkata ‘disebabkan Chong Wei masih belum bersara dari badminton', itu berikan semangat untuk saya terus bermain. Saya berharap dapat menentang beliau di Tokyo 2020 dan ianya akan menjadi satu kenyataan. Sama seperti yang saya katakan dalam temu ramah sebelum ini, dengan kebenaran Tuhan dan jika kesihatan saya mengizinkan. Saya berharap memasuki gelanggang di Tokyo tahun hadapan.

“Tahun hadapan mungkin akan menjadi olimpik kelima dan terakhir saya dan lawan saya yang terhebat. Tentunya bagus untuk bertemu Lin Dan, di mana pertembungan kami cukup 20 tahun,” katanya dalam Instagramnya @leechongweiofficial pada Khamis.

Media tempatan hari ini melaporkan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik dua kali, Lin Dan berkata beliau akan menamatkan kariernya dalam sukan badminton, hanya sekiranya saingan utamanya dalam sukan itu, Chong Wei juga memutuskan berbuat demikian

Pemain berumur 36 tahun itu mengakui beliau sedang berjuang sebaik mungkin dalam arena badminton untuk mencabar diri sendiri, di samping menampilkan teladan baik buat pemain-pemain muda.

Chong Wei turut mengucapkan kejayaan untuk Lin Dan di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil sehingga hujung minggu ini.

“Sahabatku Lin Dan, saya ucapkan yang terbaik untuk anda di Terbuka Malaysia. Bagi saya jika bukan pemain Malaysia yang menjuarainya, saya berharap andalah yang menang, lawanku yang terhebat.“Lin Dan telah menang dengan hebat terhadap Chou Tien Chen semalam,” katanya.- Bernama

Lee Chong Wei , Lin Dan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain