suria

Dianggap tak popular, guna belanja sendiri, Sukan Orang Kuat mampu cipta nama di peringkat antarabangsa

Atlet negara yang bertanding di Thailand pada 9 Februari lalu.

SEPANJANG enam tahun Persatuan Orang Kuat Malaysia ditubuhkan, pelbagai kejayaan telah diraih di peringkat antarabangsa.

Mungkin persatuan ini masih baharu, tetapi ada juga yang sedar kewujudan persatuan yang ditubuhkan pada tahun 2014 ini.

Hakikatnya rekod kejayaan atlet Malaysia sudah terpahat di peringkat antarabangsa.

Presidennya Zainurizzaman Moharam memberitahu, pada awal penubuhan persatuan ini, ia tidak diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk berada di bawah Pesuruhjaya Sukan.

"Saya cuba memohon dengan KBS untuk menjadikan persatuan ini sama seperti persatuan lain, namun ditolak kerana acara ini tidak popular serta tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Olimpik atau lain-lain pertandingan yang biasa dianjurkan.

"Keputusan itu tidak mengecewakan saya, dan saya berjanji dengan diri saya untuk membuktikan dalam tempoh setahun akan ada atlet-atlet negara yang berjaya.

"Dan ia telah dibuktikan dengan kini seramai 20 atlet dalam pelbagai kategori bernaung di bawah persatuan ini. Selepas itu saya kembali ke KBS dan persatuan ini lulus seperti persatuan-persatuan sukan lain," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Zainurizzman Moharam. Foto kredit: Zack

Menurut Zainurizzaman atau dikenali Zack, persatuan ini hanya diiktiraf oleh KBS, namun tidak mendapat sebarang peruntukan seperti persatuan lain.

"Kami tetap meneruskan perancangan persatuan dan menghantar alet-atlet bertanding dengan perbelanjaan sendiri. Saya percaya, satu hari nanti akan lebih ramai menceburi sukan ini kerana ia satu acara yang berbeza daripada bina badan.

"Secara jelasnya, sukan bina badan hanya mempamerkan otot-otot di badan namun Sukan Orang Kuat lebih kepada kekuatan dari segi mental dan fizikal," jelasnya.

Dalam pada itu Zack turut berkongsi kejayaan terbaharu atlet di bawah naungan persatuan yang berjaya merangkul pingat pada kejohanan 'Siam Strongman Classic' awal bulan ini.

"Malaysia menghantar lima orang atlet termasuk dua wanita.

"Sebanyak empat rutin dipertandingkan iaitu Yoke Walk, Car Deadlift, Loading Race dan Hercules Hold. Peserta perlu menghabiskan angkatan dalam masa terpantas atau terbanyak dalam masa diberikan.

"Heng Shu Xia atau dikenali juga sebagai Joyce Heng berjaya membawa pulang kejuaraan bagi kategori perempuan terbuka manakala Ferra Noorulealyenaa Asyikeen Mohd Nor di tempat kelima.

Tiga atlet negara berjaya naik meraih pingat di Thailand 9 Februari lalu.

"Bagi kategori lelaki, Datuk Ahmad Zaki Jinlapudin berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori di bawah 105kg dan Choo Kok Wei daripada Perak di tempat ketiga.

"Faeez Yussof daripada Selangor pula menduduki tempat ke 6 dalam kategori di bawah 90kg," jelasnya.

Tambah Zack, kejayaan tersebut merupakan kebanggaan rakyat Malaysia.

"Sebanyak 12 negara bertanding merebut kejuaraan iaitu Australia, Afrika Selatan, Britain, Thailand, Malaysia, France, Amerika Syarikat, Kenya dan Hong Kong.

"Kami akan menghantar beberapa atlet ke kejohanan Jakarta Strongest Man pada Mac ini," katanya.

Sebanyak sepuluh negara bertanding merebut kejuaraan tersebut iaitu Australia, Afrika Selatan, Britain, Thailand, Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, Kenya, Hong Kong dan Brunei.

Sukan Orang Kuat

Artikel Sebelum

Artikel Lain