suria

Isu Dollah carut: MFL beri peringatan akhir, tidak panjangkan ke FAM

Dollah Salleh.

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan membawa isu Dollah Salleh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ketua jurulatih Pahang itu didakwa mengeluarkan perkataan kurang sopan selepas tamat aksi unifi Liga Super menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, Sabtu malam.

Bagaimanapun, Dollah akan diberikan peringatan agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian berdasarkan reputasinya sebagai tokoh bola sepak tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam, Dollah mengeluarkan kenyataan itu secara tidak sengaja dan tidak menyedari perbuatannya telah dirakam sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Tok Gajah seri 1-1 bertemu Melaka.

Kevin menyifatkan kekecewaan Dollah itu berlaku disebabkan Melaka berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim di babak-babak akhir perlawanan.

“Dollah mungkin kecewa kerana keputusan tidak seperti yang diharapkan dan insiden sepakan penalti itu berlaku sebelum perlawanan berakhir.

“Sekiranya kejadian itu berlaku lebih awal dalam permainan maka mungkin beliau akan kurang beremosi pada akhir perlawanan.

“Kita perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.

“Untuk kes ini MFL akan memberi peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung.

“Kami tidak akan meneruskan (menyerahkan laporan rasmi berhubung isu Dollah) kejadian itu kepada FAM untuk tindakan tatatertib,” katanya pada Ahad.

Sementara itu, Kevin berharap insiden ini akan memberikan peringatan bukan sahaja kepada Dollah tetapi semua jurulatih khususnya pasukan dari Unifi Liga Super yang mana kesemua perlawanan kini disiarkan secara langsung menerusi platform iflix.

Ini kerana, MFL tetap memandang serius terhadap isu ini di mana bermula Mac depan badan pentadbir Liga Malaysia itu akan lebih tegas selepas kesemua jurulatih dan pegawai sudah diberikan peringatan mengenai perkara ini.

“Seperti saya katakan tadi, Dollah adalah seorang bekas pemain bola sepak dan jurulatih yang memiliki reputasi baik jadi saya harap bukan beliau saja malah jurulatih lain supaya lebih berhati-hati dalam apa saja tindakan di dalam dan selepas perlawanan kerana kita tahu bola sepak adalah permainan melibatkan emosi.

“Kita akan lebih tegas selepas ini apabila semua pihak khususnya jurulatih sudah diberikan peringatan dan sedar implikasi yang bakal diterima.

“Kami berharap Dollah dan Pahang terus berjaya dalam perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Dollah Salleh, FAM, MFL

Artikel Lain