suria

Selangor United miliki peluang cerah untuk jadi pesaing Liga Premier

Pemain Selangor United Ranggi Oftawan Osman (kiri) cuba melepasi kawalan bola dari pemain Sarawak Benedict Martin. - Foto Bernama

PENDATANG baharu, Selangor United mempunyai kualiti untuk menjadi pesaing utama saingan Liga Premier, sekali gus mampu mencapai sasaran kedudukan lima terbaik dan layak ke kempen Piala Malaysia tahun ini.

Ketua jurulatihnya, Abd Talib Sulaiman yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada tiga aksi pertama liga musim ini, di mana pasukan itu berjaya meraih dua kemenangan dan satu kekalahan.

“Walaupun kita pasukan baharu,  tak semestinya kita tidak boleh mencapai sesuatu kejayaan. Corak permainan dengan barisan pemain yang sedia ada,  sudah pasti kita boleh melakukannya,” katanya kepada pemberita di Stadium Majlis Perbandaran Selayang  di Kuala Lumpur, selepas menewaskan Sarawak 3-2.

Pada aksi tersebut, pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi penyerang import dari Argentina, Sergio Fabian Ezequiel Aguero sebelum Sarawak menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Brazil, Hudson Dias de Jesus lapan minit kemudian.

Sejurus selepas jaringan sepakan penalti Abdul Hadi Yahya pada minit ke-78 kembali meletakkan Selangor United di hadapan, pengadil perlawanan Ghafar Mohamad Zabri memberhentikan perlawanan kerana hujan lebat dan kilat, yang menyebabkan sedikit kekecohan dalam kalangan pegawai dan penyokong Sarawak.

Apabila perlawanan dimulakan selepas lebih kurang 20 minit, kapten Sarawak, Bobby Gonzales menyamakan kedudukan pada minit ke-87 pada keadaan padang yang becah, namun Selangor United berjaya mengesahkan tiga mata menerusi jaringan sepakan percuma Raslam Khan Abd Rasyid pada minit-minit akhir perlawanan (90+3).

Selangor United sebelum ini menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi pertama liga di venue yang sama, sebelum tewas tipis 1-0 kepada Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. 

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah berkata beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak sama ada pasukan itu akan menghantar bantahan kepada Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia.  

"Situasi agak tegang kerana pengadil tidak memberhentikan perlawanan ketika panahan petir beberapa kali sebelum itu, tetapi hentikan perlawanan sejurus pasukan tuan rumah menjaringkan gol. Dari pandangan saya, beliau patut hentikan perlawanan sebelum itu," katanya. - Bernama

Selangor United

Artikel Lain