KBS kaji garis panduan pemberian peruntukan dana kepada badan sukan - Sukan | mStar

KBS kaji garis panduan pemberian peruntukan dana kepada badan sukan

Steven Sim.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji semula garis panduan peruntukan dana kerajaan kepada badan-badan sukan dalam usaha mengembalikan semula semangat profesionalisme dan ketelusan badan terbabit.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata usaha tersebut dilakukan bagi mengikis tanggapan sesetengah mereka yang menganggap melantik ahli politik untuk memegang jawatan tinggi akan memudahkan usaha organisasi memperoleh dana dan berurusan dengan kerajaan.

“Keadaan ini wujud apabila tiada pematuhan kepada garis panduan Petunjuk-petunjuk Prestasi Utama(KPI) yang objektif dari segi pemberian dana dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) tentang usaha kerajaan menghadapi kepincangan akibat campur tangan politik dan mengembalikan hak pengurusan pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Menurut Sim badan-badan sukan adalah berstatus badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan serta hal ehwal dalaman masing-masing tanpa sebarang campur tangankerajaan serta pengaruh politik.

Katanya, pelantikan ahli jawatankuasa dibuat melalui pemilihan oleh anggota sesuatu badan tersebut dalam mesyuarat agung tahunan dan kerajaan tidak ada kuasa dan tidak boleh campur tangan dalam menentukan kepimpinan badan-badan sukan.

Justeru beliau berharap agar usaha ini mampu menyemarakkan semangat kepada badan-badan sukan sebagai badan berkecuali yang memberi fokus kepada perkembangan sukan tanah air. - BERNAMA

KBS

Artikel Sebelum

Sathianathan tinggalkan Felda United

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi