suria

Panas terik, beratur panjang tak halang peminat dapatkan tiket

Seorang penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana pengsan ketika berasak mendapatkan tiket bola sepak perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Khamis. - fotoBERNAMA

IPOH: Cuaca panas terik tidak menjadi penghalang buat ratusan peminat bola sepak Perak untuk beratur panjang demi mendapatkan tiket final Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu di Shah Alam, Sabtu ini.

Bagaimanapun, ramai peminat yang kesal dan kecewa sehingga menyebabkan berlaku sedikit ketegangan di kaunter jualan di Stadium Perak di sini apabila dimaklumkan tiket telah habis dijual walaupun baharu setengah jam kaunter dibuka iaitu pada pukul 9 pagi.

Menurut Mohd Kamal Syukri Kamaruddin, 20, beliau telah mula beratur untuk membeli tiket sejak pukul 6 pagi.

“Mana boleh baharu setengah jam kaunter dibuka tiket dah habis, saya diberitahu maksimum seorang boleh membeli lima tiket sahaja.

“Dah la dua kaunter sahaja dibuka, kami beratur dari awal pagi..ni sekarang kata tiket dah habis,” katanya.

Dalam pada itu, Salina Baroon , 32, berkata beliau agak kecewa dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membiarkan peminat tertunggu-tunggu.

“Kita ini semangat nak beli tiket untuk bagi sokongan kepada pasukan Perak tapi PAFA sanggup buat kami macam ni,” katanya.

Bagi Afiszie Affandi Amir Hamzah,21, pula beliau merasakan PAFA perlu memudahkan urusan pembelian tiket untuk peminat dan bukannya menyukarkan mereka.

“Setidak-tidaknya kalau benar tiket habis maklumkan kepada kami, ni tidak tiba-tiba sahaja kaunter tiket kosong, apa patut kami buat?,” katanya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak masing-masing untuk Perak dan Terengganu.

Di Perak sebanyak tujuh lokasi tiket final Piala Malaysia di jual antaranya dia Majlis Daerah Muallim, Stadium Mini Parit Buntar dan Majlis Perbandaran Teluk Intan. - BERNAMA

Piala Malaysia

Artikel Lain