suria

Tiket Piala AFF 2018 boleh dibeli bermula 20 Oktober

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan boleh mula membeli tiket perlawanan Piala AFF 2018 bermula 20 Oktober ini.

Pasukan kebangsaan yang dikendalikan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe akan beraksi di hadapan penyokong sendiri, bersaing untuk tempat terbaik sebelum mara ke final.

Skuad Harimau Malaysia diundi berada dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Manakala Kumpulan B terdiri daripada juara bertahan Thailand, naib juara 2016 Indonesia, Filipina, Singapura dan Timur Leste.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jualan tiket akan dibuka dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula Sabtu, 20 Oktober 2018.

"Ia membabitkan perlawanan kedua Kumpulan A bertemu Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November 2018 (8.45 malam) dan perlawanan keempat menentang Myanmar, 24 November 2018 (8.30 malam).

"Harga tiket yang telah ditetapkan bagi setiap perlawanan tersebut adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak)," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tiket-tiket yang dibeli secara online itu kemudian boleh diambil di kaunter khas penebusan yang akan dibuka di Stadium Nasional dari 9 hingga 12 November 2018 bagi perlawanan bertemu Laos dan dari 21 hingga 24 November 2018 bagi perlawanan menentang Myanmar.

Dua lagi perlawanan peringkat kumpulan melibatkan skuad kebangsaan akan berlangsung di gelanggang lawan, iaitu perlawanan pertama bertemu Kemboja di Phnom Penh pada Khamis, 8 November 2018 dan perlawanan ketiga berdepan Vietnam di Hanoi pada 16 November 2018.

Sementara itu, pembelian awal tiket secara tunai di kaunter bagi kedua-dua perlawanan berkenaan boleh dibuat di kaunter tiket khas di Stadium Nasional pada Sabtu, 3 November 2018 sempena berlangsungnya perlawanan persahabatan antarabangsa 'A', Malaysia bertemu Maldives di stadium sama.

Pembelian secara tunai berikutnya pula boleh dibuat di kaunter tiket Stadium Nasional pada 11 dan 12 November 2018 bagi perlawanan menentang Laos serta pada 23 dan 24 November 2018 bagi perlawanan bertemu Myanmar.

Maklumat berhubung penjualan tiket perlawanan tempat sendiri bagi peringkat separuh akhir dan final akan dimaklumkan kemudian, bergantung kepada sama ada skuad negara dapat meneruskan kemaraan atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, tiket bagi perlawanan antarabangsa 'A', Malaysia bertemu Maldives di Stadium Nasional pada Sabtu, 3 November 2018 turut boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my bermula Sabtu, 20 Oktober 2018.

Harga tiket yang telah ditetapkan adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).

Pembelian secara tunai pula boleh dibuat di kaunter tiket Stadium Nasional pada hari perlawanan mulai jam 12.00 tengah hari.

Piala AFF, tiket online

Artikel Lain