suria

Kedah siasat ketirisan, KFA pilih SPRM

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan untuk menyiasat ketirisan dalam tadbir urus kewangan yang berlaku sebelum ini sebagai usaha mewujudkan skuad lebih baik untuk musim depan.

Berikutan itu, Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA yang berlangsung selama lima jam pada Isnin memutuskan untuk melantik pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mempengerusikan jawatankuasa integriti selepas ini.

Pada mesyuarat sama, KFA turut berazam untuk memperbaiki kaedah pengurusan tiket agar isu seperti penjualan tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini tidak berulang.

Pada November tahun lalu, sejumlah penyokong Kedah dilapor mengamuk apabila mendakwa tiket yang dijual di kaunter Stadium Darul Aman tidak mencukupi seperti yang diagihkan untuk pasukan berkenaan. 

Dalam perlawanan itu, Kedah melangkah ke final untuk bertemu JDT dan 30,000 tiket telah diperuntukkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Daripada jumlah berkenaan, hanya 10,000 tiket sahaja dibawa untuk dijual di kaunter kepada penyokong skuad Helang Merah.

Selain itu Mesyuarat Eksekutif KFA, turut menyerahkan masa depan pemain senior dan import Kedah kepada Aidil Sharin Ishak selaku ketua jurulatih baharunya untuk ditentukan.

Tindakan itu dianggap tepat oleh seorang Ahli Majlis Eksekutif yang enggan mendedahkan identitinya, selepas berlaku pertelingkahan antara pemain selain kecaman daripada pemain import terhadap bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof di media sosial.

"Kali ini KFA akan biarkan ketua jurulatih yang tentukan nasib semua pemain dan pegawai, hanya lima pemain yang mempunyai kontrak selama setahun lagi manakala selebihnya akan menamatkan kontrak pada November ini.

"Jika jurulatih baru ini mahu mengekalkan mereka atau tidak ia terpulang kepada keputusannya. Apa yang penting kita mahukan sebuah pasukan yang lebih baik untuk musim depan.

"Begitu juga nasib lima pemain import, mereka akan kekal jika menjadi pilihan dan jika tidak kita akan menerima import baharu. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan penyokong dan penaja," katanya.

KFA, SPRM

Artikel Sebelum

Rooney 'back up' Mourinho

Artikel Berikut

Artikel Lain