suria

Tony Fernandes dilantik Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tony Fernandes dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkuat kuasa pada Rabu.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan dari Pejabat Menteri Belia dan Sukan yang menegaskan pelantikan Tony dibuat dengan mengambil kira pencapaian dan pengalamannya sebagai seorang tokoh korporat yang berjaya.

“Pembabitan serta kejayaan beliau dalam bidang komersial, termasuk industri penerbangan (AirAsia), hiburan (Warner Music), perhotelan (Tune Hotels), penyiaran (The Apprentice Asia) adalah sebahagian daripada pencapaian beliau yang amat membanggakan hingga ke hari ini, menjadikan beliau sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan ini.

“Bakat keusahawanan, kreativiti dan kepimpinan beliau ternyata cukup terserlah dan ini dapat dilihat melalui anugerah yang diraih beliau termasuklah “CEO of The Year Award” dan “Entrepreneur of the Year Award”,” menurut kenyataan itu.

Nama Tony dalam bidang sukan bukan asing lagi apabila beliau menjadi individu yang memiliki sebahagian daripada kelab yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris iaitu Queens Park Rangers (QPR) selain pengasas pasukan Formula 1, Caterham F1 Team.

“Beliau amat mahir mengenai selok-belok pembangunan dan promosi sukan bertaraf antarabangsa. Penajaan AirAsia dalam aktiviti sukan tanah air seperti Akademi Badminton AirAsia serta pertandingan e-sports juga bukti beliau mempunyai minat mendalam untuk menaikkan mutu sukan negara," kata kenyataan itu.

Tony bakal bertanggungjawab untuk menambah baik struktur dan operasi PSM serta memulihkan keadaan kewangan semasa badan tersebut yang kini mengalami kerugian sebanyak RM11 juta.

“Pelantikan beliau diharapkan dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas, bukan sahaja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membentuk budaya aktif dan sihat di kalangan rakyat Malaysia, khususnya untuk para belia," kata kenyataan itu.

Bulan lalu, 11 ahli lembaga pengarah lantikan politik di bawah KBS ditamatkan perkhidmatan termasuk pengerusi PSM sebelum ini, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Tony Fernandes, PSM, AirAsia

Artikel Berikut

Artikel Lain