suria

"Harap mereka fokus, kekalkan prestasi!"

Skuad Bawah 16 Tahun Malaysia. Foto kredit: AFC

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap skuad Bawah 16 Tahun (B-16) terus fokus dan mengekalkan prestasi pada aksi Piala AFC yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Malaysia menjadi tuan rumah edisi Piala Asia B-16 2018 yang menyaksikan empat kumpulan diwakili 16 pasukan terbaik Asia beraksi bermula Khamis lalu.

"Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua peserta Kejuaraan AFC B-16 bagi edisi ke-18 ini.

"FAM amat berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah selepas sekian lama tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa cukup berprestij seumpama ini," jelasnya yang turut berada di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan kemenangan bergaya skuad negara ke atas Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Khamis lalu.

Hamidin Mohd Amin

Biarpun gembira dengan keputusan itu, Hamidin menegaskan misi Malaysia masih belum berakhir.

"Dengan berbaki dua perlawanan lagi, saya ingin mengingatkan pemain untuk terus fokus dan kekalkan prestasi yang baik," ujarnya.

Skuad B-16 yang dibimbing ketua jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim bakal turun bertemu Thailand pada Ahad, 4.30 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manakala aksi terakhir skuad negara dalam Kumpulan A adalah bertemu Jepun pada 26 September ini.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan dengan pasukan-pasukan terbaik Asia akan berentap untuk merebut empat tiket ke Piala Dunia FIFA B-17 2019 di Peru.

"Selaku tuan rumah, kita perlu mematuhi standard yang ditetapkan AFC. Untuk memastikan kelancaran kejuaraan ini, semua pemain dan jurulatih juga perlu mempamerkan semangat kesukanan tinggi bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

"Kejuaraan ini memberi peluang untuk kami membuktikan kemampuan sebagai penganjur dan pastinya ucapan terima kasih tidak terhingga kepada AFC di atas kepercayaan ini," tambahnya.

FAM, Hamidin Mohd Amin

Artikel Berikut

Artikel Lain