suria

Perjuangan Zachary Anderson

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu ini sedang dinantikan penyokong skuad hijau kuning dengan pelbagai persediaan telah dibuat untuk ke Stadium Shah Alam.

Tidak kurang juga persediaan pasukan Kedah untuk menghadapi skuad seperti JDT yang mempunyai pemain berpengalaman.

Namun, di sebalik itu, perlawanan ini juga akan menjadi aksi terakhir bagi segelintir pemain Kedah yang mungkin tidak lagi berkhidmat untuk skuad berkenaan pada musim depan.

Situasi itu turut dirasai pertahanan import Kedah, Zachary Anderson selepas kontraknya belum dilanjutkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) setakat ini.

Bagaimanapun, itu tidak menjadi alasan buat Zachary atau mesra disapa Zac untuk berjuang bagi memastikan kemenangan menjadi milik Kedah.

Pemain kelahiran Australia itu menyifatkan, perjuangan untuk membawa Piala Malaysia ke Alor Setar merupakan agenda penting perlu diselesaikan ketika ini.

"Saya tahu musim depan mungkin tidak lagi bersama Kedah, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana apa yang penting sekarang ialah memenangi Piala Malaysia.

"Sekarang masa untuk saya membalas kepercayaan KFA yang memberi peluang untuk saya berada di sini dan oleh itu saya dan rakan-rakan akan berusaha sebaik mungkin.

"Sepanjang bersama Kedah, saya kagum dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak kisah di mana sahaja kami bermain. Mereka juga akan menjadi kekuatan kami di final nanti," katanya kepada mStar Online.

Zac menambah, walaupun JDT menjadi pilihan dalam perlawanan ini, namun tidak boleh dilupakan bahawa Kedah memenangi dua piala pada musim ini iaitu Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Kedah memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan JDT di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos yang merupakan gelanggang keramat skuad tersebut.

Kedah, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain